Donald Trump. Foto AFP

WASHIGTON – Presiden Donald Trump mengancam untuk mengenakan tarif antara 30% atau 35% ke atas Jepun sekiranya perjanjian antara kedua-dua negara tidak dicapai sebelum tarikh akhir minggu hadapan.

Angka tersebut jauh lebih tinggi berbanding tarif 24% yang dikenakan ke atas Jepun pada 2 April semasa “Hari Pembebasan” yang diumumkan oleh Trump ketika beliau mengenakan tarif import yang tinggi ke atas negara-negara di seluruh dunia.

Tarif ke atas kebanyakan rakan dagang AS, termasuk Jepun, kemudiannya diturunkan kepada 10% untuk tempoh 90 hari bagi memberi peluang kepada mereka untuk merundingkan perjanjian dengan Washington.

Tempoh itu akan tamat pada 9 Julai dan Trump berkata beliau tidak bercadang untuk melanjutkan tarikh akhir tersebut.

Trump juga meragui sama ada perjanjian dapat dicapai dengan Tokyo.

“Kami telah berurusan dengan Jepun. Saya tidak pasti kami akan capai perjanjian. Saya ragu,” katanya kepada wartawan di atas pesawat Air Force One pada hari Selasa.

Jepun enggan mengulas ancaman Trump untuk menaikkan tarif semasa sidang media pada hari Rabu.

“Kami maklum dengan kenyataan Presiden Trump, tetapi kami tidak mengulas setiap kenyataan yang dibuat oleh pegawai kerajaan AS,” kata Timbalan Ketua Setiausaha Kabinet Jepun, Kazuhiko Aoki.

Seperti banyak negara lain, kebanyakan eksport Jepun ke Amerika Syarikat kini dikenakan tarif 10%.

Terdapat juga cukai import sebanyak 25% ke atas kenderaan dan alat ganti dari Jepun, manakala keluli dan aluminium dikenakan tarif sebanyak 50%.

Pada hari Selasa, Ketua Setiausaha Kabinet Jepun Yoshimasa Hayashi berkata, beliau tidak akan membuat sebarang konsesi yang boleh menjejaskan petani Jepun semata-mata untuk mencapai perjanjian dengan Washington.

Kenyataan ini dibuat selepas Trump mengkritik dasar perdagangan negara-negara lain terhadap AS, dengan memberi tumpuan kepada import beras dari Jepun.

“Untuk menunjukkan betapa manja negara-negara lain terhadap Amerika Syarikat — dan saya sangat menghormati Jepun — mereka tidak mahu ambil beras kita, sedangkan mereka menghadapi kekurangan beras yang besar,” tulisnya di platform Truth Social miliknya.

Trump sebelum ini menyatakan beliau akan menandatangani 90 perjanjian perdagangan semasa tempoh penangguhan tarif baru tersebut, namun sehingga kini hanya United Kingdom yang telah mencapai perjanjian dengan AS. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast