Reaksi Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim berjalan keluar pada hari terakhir berkhidmat sebagai Presiden Mahkamah Rayuan di Istana Kehakiman, Putrajaya. Foto MUHAIMIN MARWAN, 02 JULAI 2025.

SUASANA di Istana Kehakiman hari ini bertukar syahdu apabila Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim menutup lembaran terakhir dalam buku perkhidmatannya sebagai Presiden Mahkamah Rayuan Malaysia.

Dalam ucapan perpisahan yang penuh emosi, Abang Iskandar menzahirkan rasa syukur kerana dapat menabur bakti selama 18 tahun dalam dunia kehakiman negara.

“Hari ini adalah hari terakhir saya bertugas sebagai Presiden Mahkamah Rayuan Malaysia dan seterusnya menutup tirai perjalanan karier saya sebagai seorang hakim yang bermula pada tahun 2007.

“Ia merupakan satu tempoh perkhidmatan selama 18 tahun yang penuh dengan liku-liku  mewarnai suatu kisah dan kenangan yang amat bermakna bagi saya.

“Saya meninggalkan tugas ini dengan penuh rasa syukur, keinsafan dan hati yang tenang,” katanya penuh makna.

Abang Iskandar Abang Hashim beramah mesra bersama pekerja dan pengamal media pada hari terakhir beliau berkhidmat di pejabatnya di Mahkamah Istana Kehakiman, Putrajaya. Foto MUHAIMIN MARWAN, 2 Julai 2025.

Abang Iskandar turut menzahirkan kesyukuran atas peluang yang diberikan sepanjang kerjayanya sekali gus membolehkan beliau menimba pengalaman berharga dan menjalin hubungan dengan ramai insan hebat.

“Dalam tempoh tersebut, saya telah bertemu dengan ramai insan yang baik, berdedikasi dan berhati mulia dikalangan para hakim, warga mahkamah, pengamal undang-undang, dan ahli akademik yang sentiasa memberikan kerjasama yang baik demi menegakkan keadilan sejagat.

“Maka, ia telah mempermudahkan urusan saya dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab sebagai Presiden Mahkamah Rayuan dan juga sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan,” katanya lagi.

Abang Iskandar yang dikenali sebagai seorang yang tegas namun rendah diri, turut mengakui beliau bercampur baur antara kepuasan menamatkan amanah dengan penuh integriti dan kesedihan untuk berpisah dengan rakan-rakan seperjuangan.

“Saya sejujurnya pasti akan merindui suasana kerja, persahabatan dan wajah-wajah mereka yang saya temui setiap hari.

“Saya doakan agar mereka semua terus berjaya dalam kerjaya dan kehidupan keluarga masing-masing. Terima kasih atas persahabatan dan sokongan yang diberikan kepada saya selama ini,” kata beliau lagi.

Berkongsi waktu-waktu persaraannya, Abang Iskandar mahu meluangkan lebih banyak masa untuk keluarga tercinta, kegiatan amal, serta hobi yang terpendam sekian lama.

Namun, beliau tidak lupa mendoakan agar usaha menegakkan keadilan diteruskan oleh legasi generasi muda Badan Kehakiman Malaysia dengan telus, jujur dan amanah tanpa rasa takut, gentar atau pilih kasih.

Abang Iskandar bukan sahaja dikenang sebagai tokoh pertama dari Sarawak yang menjawat jawatan Presiden Mahkamah Rayuan, tetapi figura kehakiman yang telah mengukir legasi keadilan, integriti, dan kebijaksanaan tersendiri  yang pastinya  akan terpahat dalam sejarah institusi kehakiman Malaysia. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast