Hakim Besar Malaya, Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim. 'Foto ihsan lawab web kehakiman.

KUALA LUMPUR – Hakim Besar Malaya, Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim menjalankan tugas Ketua Hakim Negara bermula hari ini selepas Tun Tengku Maimun Tuan Mat bersara wajib, kelmarin.

Beliau melaksanakan kuasa dan tugas jawatan Ketua Hakim Negara termasuk fungsinya di bawah Perlembagaan sehingga jawatan tertinggi badan kehakiman itu diisi.

Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan dalam kenyataan hari ini berkata, ia selaras dengan Perkara 131A Perlembagaan Persekutuan dan Seksyen 9 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 [Akta 91].

Menurut Seksyen 9(1), sekiranya pada bila-bila masa, disebabkan oleh penyakit, ketiadaan dari Malaysia atau apa-apa sebab lain, Ketua Hakim Negara tidak dapat menjalankan kuasa atau melaksanakan tugas jawatannya (termasuk fungsinya di bawah Perlembagaan), atau sekiranya berlaku kekosongan dalam jawatan itu.

Perkara 9(1)(a) pula menyatakan, maka kuasa itu boleh dijalankan dan tugas boleh dilaksanakan oleh Presiden Mahkamah Rayuan (PCA) atau sub-seksyen (b), oleh Hakim Besar Malaya sekiranya PCA tiada di Malaysia atau tidak dapat bertindak, atau sekiranya berlaku kekosongan dalam jawatan itu.

Kenyataan tersebut memaklumkan, Badan kehakiman Malaysia sentiasa kekal teguh dalam menjalankan tanggungjawabnya sebagai penjaga keadilan dan akan terus berkhidmat dengan penuh dedikasi untuk rakyat dan negara.

Tun Tengku Maimun Tuan Mat

Jawatan Ketua Hakim Negara kosong selepas Tun Tengku Maimun bersara wajib kelmarin ekoran tempoh perkhidmatannya tidak dilanjutkan enam bulan lagi.

Selain beliau, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim turut menamatkan tugas sebagai Presiden Mahkamah Rayuan petang semalam apabila mencapai usia persaraan wajib 66 tahun, hari ini.

Ini bermakna, berlaku dua kekosongan serentak dalam jawatan tertinggi hierarki kehakiman susulan persaraan rasmi kedua-duanya.

Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim melambai pada hari terakhir perkhidmatan sebagai Presiden Mahkamah Rayuan di Istana Kehakiman, Putrajaya. Foto MUHAIMIN MARWAN, 2 Julai 2025. (GAMBAR FAIL)

Perlu diketahui bahawa Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan menyatakan, semua pelantikan hakim ke jawatan pentadbiran tertinggi hendaklah dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong (YDPA) yang bertindak atas nasihat Perdana Menteri, selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja.

Tun Tengku Maimun yang merupakan wanita pertama memegang jawatan itu selama enam tahun, menggantikan Tan Sri Richard Malanjum pada 2 Mei 2019, mencapai usia persaraan wajib 66 tahun, semalam.

Pada hari terakhir perkhidmatannya, Tun Tengku Maimun mempengerusikan dua prosiding termasuk rayuan akhir kes bunuh Timbalan Pendakwa Raya mendiang Datuk Anthony Kevin Morais.

Sementara itu, Hakim Hasnah yang mencapai usia persaraan wajib 66 tahun pada 15 Mei lalu, mendapat lanjutan tempoh perkhidmatan selama enam bulan lagi sehingga November ini.

Menurut laman web kehakiman, beliau dilantik sebagai Hakim Besar Malaya pada 12 November 2024 dan memegang jawatan sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan pada 5 Disember 2019.

Beliau memulakan kerjaya dalam Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan pada 1 Ogos 1983 sebagai Penasihat Undang-Undang/ Peguam Kanan Persekutuan di Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Hakim Hasnah mencipta sejarah sebagai pegawai wanita pertama yang memegang jawatan Penolong Penasihat Undang-Undang di Selangor. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast