Takiyuddin Hassan

 

KUALA LUMPUR – Pembangkang mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyegerakan proses pelantikan tetap bagi Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan mengikut lunas Perlembagaan dan kelaziman konstitusional.

Ketua Whip Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyiddin Hassan berkata, kegagalan kerajaan menghormati serta menyegerakan proses pelantikan dalam badan kehakiman hanya akan terus menghakis keyakinan rakyat terhadap keadilan dan keluhuran undang-undang.

“Ini pasti mengakibatkan kelewatan proses perundangan di mahkamah, keadilan yang lambat ditegakkan, hakikatnya adalah keadilan yang dinafikan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia hari ini memaklumkan Hakim Besar Malaya, Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim akan menjalankan kuasa atau melaksanakan tugas jawatan Ketua Hakim Negara.

Mengulas pemakluman itu, Takiyuddin menyifatkan pelantikan Hasnah bagi memangku dua jawatan tertinggi kehakiman sebagai satu langkah pelik dan tidak pernah berlaku, sekali gus mengundang kecurigaan besar.

Lantikan itu juga katanya turut menimbulkan persoalan besar tentang keutuhan sistem pemisahan kuasa dan kebebasan institusi kehakiman yang menjadi asas kepada prinsip rule of law dalam mana-mana negara demokrasi.

Lebih mengejutkan, tambah beliau, pelantikan itu berlaku dalam keadaan Kerajaan Persekutuan dan Perdana Menteri seolah-olah mengesahkan secara rasmi niat di sebalik tidak memberikan pelanjutan perkhidmatan kepada bekas-bekas Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan, yang masing-masing telah bersara wajib beberapa hari lalu.

“Kegagalan Perdana Menteri untuk mengambil tindakan segera dan sewajarnya dalam urusan pelantikan tertinggi dalam badan kehakiman ini mengundang tanda tanya yang sangat besar dan mencetuskan persepsi bahawa terdapat unsur campur tangan yang nyata, pengabaian disengajakan, atau lebih buruk lagi perancangan tersembunyi untuk mempengaruhi atau mengawal sistem kehakiman di negara ini.

“Perdana Menteri hari ini telah pun mengetuai cabang-cabang eksekutif dan legislatif negara secara mutlak.

“Kini, dengan kekosongan ketua cabang kehakiman yang dibiarkan berlarutan, apakah ini satu lagi langkah terancang seseorang untuk menyempurnakan pengaruh penuh ke atas semua cabang kuasa kerajaan, sekali gus mencabul konsep pengasingan kuasa?” katanya.

Takiyuddin berkata,  Anwar juga perlu menafikan secara terbuka sebarang niat untuk campur tangan dalam badan kebebasan kehakiman.

“Institusi kehakiman adalah tonggak dan benteng terakhir dalam mempertahankan hak rakyat dan memastikan keadilan ditegakkan tanpa takut atau pilih kasih.

“PN menggesa semua pihak terutama pihak berkuasa jangan sesekali mengorbankan prinsip ini demi percaturan politik atau agenda sempit kuasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Takiyuddin mengingatkan kerajaan yang mana kebebasan badan kehakiman bukan sahaja perlu wujud, tetapi juga mesti dilihat wujud.

Menurutnya, kegagalan kerajaan menghormati serta menyegerakan proses pelantikan dalam badan kehakiman hanya akan terus menghakis keyakinan rakyat terhadap keadilan dan keluhuran undang-undang.

“Ini pasti mengakibatkan kelewatan proses perundangan di mahkamah, keadilan yang lambat ditegakkan, hakikatnya adalah keadilan yang dinafikan,” katanya. – MalaysiaGazette

 

Hakim Besar Malaya laksana tugas Ketua Hakim Negara sehingga jawatan diisi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast