Penduduk gigih membawa guni tepung berjalan di sepanjang jalan al-Rashid, Jabalia selepas trak bantuan kemanusiaan dilaporkan memasuki utara Semenanjung Gaza melalui lintasan sempadan Zikim, di tengah-tengah perang berterusan antara Israel dan Hamas pada 17 Jun 2025. Foto AFP.

KUALA LUMPUR – Malaysia menghargai usaha terbaharu untuk menamatkan pembunuhan beramai-ramai terhadap rakyat Palestin di Gaza, khususnya cadangan gencatan senjata selama 60 hari yang dikemukakan oleh Amerika Syarikat dan dirunding oleh Mesir dan Qatar.

Usaha ini sepatutnya membawa kepada satu gencatan senjata kekal yang mampu memberikan harapan untuk keamanan di rantau tersebut.

Malah, sebarang penghentian sementara terhadap pencerobohan ketenteraan tidak boleh dijadikan sebagai helah taktikal, kata Kementerian Luar Negeri.

“Sekatan ke atas Gaza dan serangan terhadap orang awam mesti dihentikan serta-merta tanpa syarat,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya,  usaha konkrit juga amat mendesak untuk membendung kebuluran di Gaza melalui penyampaian bantuan kemanusiaan yang segera, tanpa halangan dan yang dijamin selamat serta berkesan.

Malaysia secara konsisten dan tegas mengecam tindakan jenayah pembunuhan beramai-ramai oleh rejim zionis Israel yang telah meragut lebih 57,000 nyawa dan menyebabkan kemusnahan menyeluruh di Wilayah Palestin sejak Oktober 2023.

Serangan yang disengajakan terhadap kediaman, sekolah, hospital dan pusat pengagihan bantuan oleh rejim tersebut merupakan pelanggaran nyata terhadap undang-undang antarabangsa, termasuk undang-undang hak asasi manusia dan undang-undang kemanusiaan.

Sejajar dengan itu, masyarakat antarabangsa mesti mendesak rejim Zionis Israel untuk segera menghentikan segala bentuk keganasan dan kekejaman terhadap rakyat Palestin di Tebing Barat, termasuk yang dilakukan oleh peneroka haram Israel.

Atas dasar prinsip, Malaysia menolak sekeras-kerasnya sebarang cubaan untuk mengilhakkan mana-mana bahagian Wilayah Palestin.

Tindakan sedemikian jelas melanggar undang-undang antarabangsa, resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu serta Konvensyen Geneva Keempat.

Malaysia sekali lagi menegaskan sokongan teguh terhadap hak rakyat Palestin untuk menentukan nasib sendiri dan penubuhan sebuah Negara Palestin yang merdeka dan berdaulat, berdasarkan sempadan pra-1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara, serta keahlian yang sah di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengikut undang-undang antarabangsa. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast