KUALA LUMPUR – Misi Perdagangan dan Pelaburan Malaysia ke Perancis pada 4 Julai lalu berjaya menjana potensi pelaburan bernilai RM4 bilion serta potensi eksport mencecah RM675 juta.
Ini melibatkan pelbagai sektor utama seperti aeroangkasa, automotif, tenaga boleh baharu, farmaseutikal, ekonomi digital, gaya hidup dan produk Halal.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz dalam kenyataan hari ini berkata, pencapaian itu mencerminkan keyakinan berterusan pelabur antarabangsa terhadap Malaysia sebagai destinasi pelaburan yang kukuh dan berdaya saing.
“Hasil daripada misi itu juga akan membuka lebih banyak peluang perniagaan kepada syarikat tempatan, termasuk Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) selain menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan berkemahiran tinggi kepada rakyat.
“Kejayaan misi ini mencerminkan keyakinan berterusan syarikat asing terhadap dasar mesra pelabur Malaysia, ekosistem rantaian bekalan yang cekap, serta potensi pertumbuhan ekonomi negara.
“Pelaburan dan potensi perdagangan yang diraih turut akan memberi limpahan manfaat kepada PMKS dan menyumbang kepada transformasi ekonomi MADANI,” katanya.
Misi berkenaan telah diketuai oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan turut disertai oleh delegasi MITI bersama wakil dari Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).
Sepanjang misi tersebut, Perdana Menteri telah mengadakan pertemuan bersama lebih 40 wakil industri Perancis, di mana beberapa syarikat menyatakan minat untuk melabur dalam sektor strategik seperti pembuatan berteknologi tinggi, tenaga boleh baharu, pelancongan dan hospitaliti, ekonomi digital serta infrastruktur mampan.
Kesemua sektor tersebut merupakan bidang tumpuan utama di bawah Rancangan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) dan Strategi Pelaburan Hijau negara.
Syarikat-syarikat terlibat turut menyatakan hasrat mereka untuk meneruskan pelaburan di Malaysia berikutan persekitaran pelaburan yang stabil, tenaga kerja berkemahiran, dasar kerajaan yang mesra pelabur serta permintaan global yang memberangsangkan terhadap produk buatan tempatan.
Misi ini merupakan sebahagian daripada lawatan rasmi kerja Perdana Menteri ke Itali, Perancis dan Brazil dari 1 hingga 8 Julai 2025.
Turut serta dalam delegasi ialah Menteri Luar Negeri, Menteri Pengangkutan, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Menteri Pertahanan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) serta Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air. – MalaysiaGazette
















