KUALA LUMPUR – Kedudukan sebagai pendakwah bukan lesen untuk memperalatkan agama demi kepentingan peribadi atau terlibat dalam perlakuan tidak bermoral dan bercanggah dengan undang-undang.
Sehubungan itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar mengingatkan setiap penceramah, pendakwah dan individu yang membawa imej Islam khususnya golongan agamawan bebas, hendaklah sentiasa menjaga akhlak, integriti dan maruah diri selaras dengan ajaran Islam.
Beliau turut menyeru para penceramah dan pendakwah khususnya yang bergerak secara bebas tanpa pengiktirafan atau pemantauan institusi berautoriti mematuhi etika dan garis panduan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa agama negeri.
Dalam masa sama, katanya, saringan terhadap latar belakang, akhlak dan kelayakan pendakwa atau penceramah bebas perlu diperkukuh supaya dakwah yang disampaikan benar-benar membawa rahmat, bukan fitnah.
“Saya juga menyeru agar masyarakat tidak terburu-buru menjatuhkan hukuman secara umum tetapi memberikan ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan secara menyeluruh dan adil.
“Pada masa yang sama, kita mesti menolak sekeras-kerasnya budaya aib-mengaibkan, lebih-lebih lagi dengan tujuan untuk meraih pengaruh atau perhatian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau mengulas mengenai laporan media mengenai siasatan polis terhadap seorang penceramah bebas yang didakwa terbabit dengan penyebaran video seks melibatkan empat isteri individu berkenaan.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, pihaknya menerima laporan daripada isteri kedua suspek pada 16 Jun lalu berhubung kejadian tersebut.
Sementara itu, Mohd Na’im memandang serius kejadian tersebut kerana ia bukan sahaja mencemar maruah individu yang terlibat malah mencemarkan imej institusi dakwah serta menjejaskan kepercayaan masyarakat terhadap para agamawan.
Jelasnya, beliau bersama Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) umpamanya telah menganjurkan program Felo Muda Dakwah (FMD) dan Akademi Daie Muda YADIM (ADMY) yang memfokuskan kepada usaha melahirkan pendakwah-pendakwah muda negara.
“Sehingga kini seramai 364 orang sudah menjalani latihan intensif untuk kedua program ini sejak ia dimulakan pada tahun 2014.
“Inilah antara usaha Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dalam melahirkan pendakwah yang mencerminkan ummah MADANI,” katanya.
Sementara itu, tambah beliau, Kerajaan MADANI terus komited untuk memperkasakan ekosistem dakwah yang lebih tersusun, profesional dan berintegriti.
“Marilah kita semua, terutamanya para pendakwah, menjadi cerminan akhlak Rasulullah SAW dan sentiasa menjaga amanah dakwah ini dengan penuh tanggungjawab,” katanya. – MalaysiaGazette
















