Dua individu dikatakan melarikan diri selepas kenderaan jenis Perodua Alza dinaiki mereka terjunam ke dalam sungai. FOTO ihsan bomba

KUALA LUMPUR – Polis sedang mengesan pasangan suami isteri dipercayai melarikan diri selepa kereta yang disewa terjunam dalam sungai berhampiran Jalan Kuari, Sungai Long, Hulu Langat hari ini.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu sekitar jam 9.30 pagi tadi daripada orang awam.

“Menurut saksi yang tinggal di kawasan berhampiran kejadian berlaku kira-kira jam 9 pagi selepas terdengar bunyi bising di kawasan berhampiran sungai.

“Ketika kejadian, saksi nampak seorang lelaki dan wanita keluar dari kenderaan yang jatuh ke dalam sungai itu dan tidak pasti pasangan itu melarikan diri ke mana.

“Pihak polis dengan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) telah membuat pemeriksaan dan mengesahkan tiada individu di dalam kenderaan itu sebelum dibawa naik ke darat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dua individu dikatakan melarikan diri selepas kenderaan dinaiki mereka terjunam ke dalam sungai. FOTO ihsan bomba

Tambah beliau, bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan hasil siasatan mendapati kenderaan itu adalah milik seorang lelaki tempatan dan mengesahkan telah disewakan.

“Pemilik telah menyewakan kereta  itu kepada seorang lelaki tempatan sebelum dipinjamkan kepada pasangan terbabit dan kita sedang giat mengesan mereka bagi mengetahui punca kejadian.

“Mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian boleh menghubungi balai polis berhampiran atau Ketua Polis Balai Bt 14 Hulu Langat di talian 019-2642499,” jelasnya.

Pada masa sama, beliau juga menasihati pengguna jalan raya supaya mengamalkan pemanduan yang berhemah, sentiasa mematuhi peraturan jalan raya dan sentiasa berhati-hati semasa memandu.

Terdahulu, media melaporkan dua individu dipercayai melarikan diri selepas kenderaan mereka terjunam ke dalam sungai di Jalan Kuari Sungai Long di Kampung Sungai Seri Hulu Langat, hari ini.

Penolong Pengarah Operasi JBPM Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, pihaknya menerima laporan berhubung sebuah kereta terjunam ke dalam sungai pada 10.29 pagi.

Katanya, komander operasi melaporkan sebuah Perodua Alza dengan nombor pendaftaran tidak dikenal pasti terjunam ke dalam sungai sedalam 1.5 meter. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast