Datuk Tun Faisal Ismail Aziz.

KUALA LUMPUR – Kenyataan Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan bahawa Bersatu masih anggota PN dari segi undang-undang, tetapi bukan anggota `secara teknikal’ menimbulkan persoalan besar dari sudut tadbir urus dan perundangan.

Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berkata, kenyataan itu secara tidak langsung menggambarkan bahawa kedudukan Bersatu dalam PN dan pentadbiran PN tidak diuruskan berdasarkan Perlembagaan PN, sebaliknya berdasarkan tafsiran pemimpin Pas.

Sehubungan itu, beliau mempersoalkan maksud sebenar Takiyuddin sama ada Pas selaku Pengerusi PN berhak bertindak sesuka hati dan bertentangan dengan Perlembagaan PN dalam menafikan hak Bersatu sebagai parti anggota.

“Jika benar begitu, apakah peruntukan Perlembagaan atau undang-undang yang digunakan untuk “secara teknikalnya” tidak menjemput Bersatu menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Kerusi PN dan Mesyuarat Luar Biasa Majlis Tertinggi PN sebelum PRN Negeri Sembilan?” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Tun Faisal membangkitkan persoalan sama ada Pas juga boleh dianggap  telah terkeluar daripada PN sekiranya tafsiran `secara teknikal’ itu boleh digunakan untuk menafikan hak sebuah parti anggota.

Katanya, ia selepas Pas didakwa mengadakan rundingan secara belakang tabir dengan pihak luar tanpa mandat dan pengetahuan PN dalam isu-isu tertentu, termasuk ketika Langkah Bangkok dan sebelum PRN Johor serta PRN Negeri Sembilan lalu.

“Begitu juga, bolehkah Pas dianggap “secara teknikal” bukan lagi anggota PN apabila Presiden Pas bertindak bertentangan dengan keputusan-keputusan Majlis Tertinggi PN, termasuk dalam soal Ketua Pembangkang?” katanya.

Sehubungan itu, Tun Faisal mengingatkan Pas supaya tidak mencipta istilah `secara teknikal’ untuk ‘menghalalkan’ tindakan melanggar secara terang-terangan Perlembagaan PN.

“Ini antara masalah utama dalam PN, iaitu apabila tindakan dan keputusan yang dibuat bukan berdasarkan Perlembagaan PN tapi tafsiran politik Pas,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here