KUALA LUMPUR – Majlis Amanah Rakyat (MARA) disaran melaksanakan beberapa pendekatan strategik agar terus memartabatkan pemikiran Tun Abdullah Ahmad Badawi dalam memperkukuh agenda Melayu dan bumiputera di negara ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, MARA wajar melanjutkan legasi bekas Perdana Menteri Kelima itu dengan membina generasi baharu Bumiputera yang bukan sahaja mahir secara teknikal tetapi juga teguh daripada segi nilai dan moral.
Katanya yang juga Menteri Kemajuan Desa dam Wilaya, MARA menerusi institusi-institusi seperti Maktab Rendah Sains Mara, Institut Kemahiran Mara, Kolej Kemahiran Tinggi Mara dan GiatMARA boleh membangunkan satu modul khas Kepimpinan Pak Lah untuk diterapkan kepada pelajar agar nilai kesederhanaan, hikmah dan kepimpinan beretika itu dapat diwarisi oleh generasi pelapis negara.
“Kita melihat antara warisan Pak Lah yang besar ialah pelancaran lima Koridor Ekonomi Wilayah. Ini membuka peluang pembangunan ke seluruh pelosok negara, bukan hanya tertumpu di Lembah Klang.
“Saya mencadangkan MARA memperluaskan program pendidikan di kawasan koridor ini dengan mewujudkan lebih banyak Pusat Latihan Bergerak MARA yang boleh mendekati komuniti pedalaman, menyediakan latihan teknikal dan digital terus ke akar umbi,” katanya.
Teks ucapan beliau itu dibaca oleh Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang pada majlis perasmian Simposium Pemikiran Tun Abdullah Ahmad Badawi di Hotel Premiera di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid menambah, Abdullah yang mesra dengan panggilan Pak Lah itu amat menekankan soal integriti dalam tadbir urus dan dunia perniagaan.
Justeru, katanya, MARA boleh memperkenalkan satu program khas iaitu Usahawan Islam Hadhari yang berteraskan konsep keusahawanan moden dengan nilai-nilai Islam seperti kejujuran, keadilan dan tanggungjawab sosial.
“Saya juga menyarankan MARA melalui Universiti Poly-Tech Mara agar menggalakkan kajian terhadap pemikiran dan corak kepimpinan Abdullah.
“Kajian ini dapat menyemarakkan semula idea, dasar dan gagasan besar beliau, secara tidak langsung penerbitan kajian ini boleh menjadi rujukan generasi muda agar tidak lupa kepada jasa dan sumbangan pemimpin yang meletakkan kesederhanaan, kasih sayang dan nilai sebagai teras pembinaan bangsa.
“Saya berharap cadangan-cadangan ini dapat dipertimbangkan oleh MARA agar nama Pak Lah tidak hanya kekal dalam buku sejarah, tetapi hidup dalam dasar, dasar dalam tindakan dan tindakan dalam jiwa bangsa,” katanya.
Pak Lah meninggal dunia pada usia 85 tahun di Institut Jantung Negara pada 18 April lalu.
Allahyarham dikenang sebagai seorang pemimpin yang merendah diri dan bersederhana dalam tindakan serta percakapannya ketika mengetuai pentadbiran negara.
Sikap itu bagaimanapun tidak menghalang Allahyarham daripada bertegas, terutama dalam usaha membasmi rasuah dan mahu pentadbirannya telus serta berintegriti.
Dikenali sebagai Bapa Pembangunan Modal Insan, Abdullah merupakan pelopor dan pengasas kepada satu konsep baharu dalam pembangunan negara berasaskan kekuatan pembangunan modal insan.
Sepanjang tempoh memegang jawatan Perdana Menteri dari 2003 hingga 2009, pembangunan modal insan sentiasa menjadi strategi utama untuk membangunkan serta menambah nilai keupayaan rakyat Malaysia.
Allahyarham memperkenalkan Islam Hadhari yang memfokus kepada peningkatan pembangunan serta kualiti kehidupan masyarakat secara keseluruhan, dengan memberi penekanan kepada penguasaan ilmu dalam pelbagai bidang dan pembangunan modal insan.
Dengan moto ‘Cemerlang, Gemilang dan Terbilang’, komitmen Allahyarham amat tinggi untuk melahirkan pentadbiran yang jujur, efisien, Islamik dan peka kepada nasib penduduk luar bandar serta wilayah yang tidak begitu mendapat perhatian sebelumnya. – MalaysiaGazette
















