JOHOR BAHRU – Dewan Pemuda Pas Negeri Johor (DPPNJ) menempelak Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pekan Nanas, Tan Eng Meng yang seolah-olah membela insiden lelongan arak di sebuah sekolah rendah di Pontian baru-baru ini.
Ketuanya, Ahmad Nawfal Mahfodz berkata, DPPNJ kecewa dengan kenyataan Eng Meng itu yang tidak memandang serius isu tersebut.
Menurut beliau, alasan tiada guru atau murid terlibat dan merupakan majlis makan malam serta kutipan dana termasuk hanya segelintir individu mabuk, tidak boleh diterima sama sekali.
“Pendekatan meremehkan isu ini jelas mengabaikan sensitiviti masyarakat seolah-olah selagi pelajar tidak terlibat secara langsung, maka segala bentuk aktiviti tidak bermoral di kawasan sekolah adalah boleh dimaafkan.
“Ini adalah satu bentuk normalisasi yang amat membimbangkan. Sekolah memainkan peranan besar selain daripada tempat belajar akademik, ia adalah ruang pembentukan nilai dan jati diri generasi muda terutama anak-anak kita.
“Sebarang bentuk promosi budaya negatif walaupun secara tidak langsung harus ditolak tegas oleh semua pihak, khususnya wakil rakyat yang memikul amanah menjaga kebajikan pendidikan dan moral masyarakat,” katanya dalam kenyataan.
Kelmarin, Dewan Ulamak Pas Negeri Johor (DUPNJ) kesal dengan aktiviti lelongan minuman keras di sebuah sekolah rendah di Pekan Nanas, Pontian baru-baru ini.
Menurut DUPNJ, aktiviti itu berlaku dalam kawasan premis sekolah yang boleh mencemar nama baik institusi pendidikan.
Justeru, Ahmad Nawfal berkata, pihaknya mendesak Kementerian Pendidikan (KPM) segera mengkaji dan memperketat dasar serta garis panduan penyewaan premis dan penajaan pihak luar.
Tegasnya, ia termasuk larangan jelas penglibatan syarikat arak, rokok, judi dan seumpamanya dalam program di sekolah.
Siasatan menyeluruh, katanya, terhadap semua sekolah yang terlibat dan tindakan tegas diambil terhadap mana-mana pihak pentadbiran yang cuai dalam menjaga integriti institusi pendidikan.
“Pendidikan nilai moral dan akhlak perlu diberi keutamaan, bukan dikorbankan atas nama ‘tajaan’ atau ‘program komuniti’.
“Kami menyeru semua pendidik, ibu bapa, masyarakat sivil dan penggubal dasar agar bangkit mempertahankan institusi pendidikan daripada terus dinodai budaya yang bertentangan dengan nilai dan prinsip asas masyarakat Malaysia,” ujarnya.- MalaysiaGazette
















