JOHOR BAHRU – Selepas 41 tahun, warga Taman Indah mencipta sejarah apabila buat julung kalinya mengadakan sambutan kemerdekaan baru-baru ini yang berlangsung meriah dengan pelbagai aktiviti melibatkan kanak-kanak dan golongan dewasa.
Sambutan itu merupakan cetusan idea Helwa Surau Al Jamil Taman Indah yang diketuai Pengerusinya, Salwani Adlim dan mendapat sokongan Pengerusi Badan Kebajikan Surau Al Jamil, Sahrizan Sukerman bersama-sama barisan ahli jawatankuasanya (AJK).
Pengerusi serta AJK Badan Kebajikan Surau Al Jamil memberikan kerjasama merealisasikan program itu termasuk usaha mendapatkan sokongan, sumbangan dan peruntukan bagi memastikan kelancaran sambutan.

Program itu juga mendapat sumbangan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas, Datuk Ramlee Bohani, Nur Najwa Group serta penyumbang individu dalam kalangan warga Taman Indah.
Menurut Salwani, kelancaran program turut didukung urus setia Helwa yang mengendalikan perancangan, penyelarasan dan perjalanan aktiviti, dengan kerjasama semua pihak yang terlibat.
Katanya majlis dimulakan dengan bacaan doa oleh Ustaz Md Noh Abd Samad, sebelum diteruskan dengan pertandingan mewarna kanak-kanak, pertandingan azan dan musical chair.

“Bagi golongan dewasa pula, diadakan pertandingan kaligrafi bertemakan kemerdekaan, pertandingan memasak dan kerusi beracun.
“Sambutan turut diserikan dengan kehadiran Timbalan Yang di-Pertua Dewan Negara, Datuk Nur Jazlan Mohamed; Datuk Mohd Rashid Kasman, Ahli Majlis MBJB Zon Kempas selain para penyumbang dan warga Taman Indah,” katanya ketika ditemui.

Tambahnya, kemuncak sambutan pada sebelah malam ialah percikan bunga api yang menambahkan lagi kemeriahan dan mencetuskan keterujaan dalam kalangan penduduk, khususnya kanak-kanak.
Sambutan tersebut katanya, bukan sahaja menjadi sejarah buat warga Taman Indah selepas 41 tahun, malah menjadi wadah untuk mengeratkan silaturahim dan semangat kejiranan.
“Alhamdulillah, kami amat bersyukur kerana dengan sokongan dan kerjasama semua pihak, sambutan kemerdekaan yang julung kali diadakan ini dapat direalisasikan dengan jayanya. Semoga semangat kebersamaan ini terus subur dalam komuniti Taman Indah,” katanya.
Ujarnya, sambutan berakhir dalam suasana penuh kegembiraan dan kesyukuran, sekali gus meninggalkan kenangan manis buat seluruh warga Taman Indah.- MalaysiaGazette
















