Pearly Tan-M Thinaah

KUALA LUMPUR – Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berharap pemain beregu wanita negara, Pearly Tan-M. Thinaah dapat memberi fokus kepada permainan selepas isu kontrak melibatkan mereka akhirnya dimuktamadkan.

Dalam masa sama, Hannah turut melahirkan rasa lega dan berterima kasih kepada Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz yang berjaya mencapai kata sepakat dalam perkara tersebut.

Menurutnya, dengan keputusan itu, Pearly-Thinaah juga tidak lagi perlu bimbang memandangkan mereka kini mendapat sokongan penuh di bawah BAM sama ada dari segi kemudahan serta kejurulatihan.

“Jadi saya percaya dengan sokongan padu yang diberikan (di bawah BAM), mereka mampu terus berjaya dalam kejohanan-kejohanan akan datang,” katanya.

Hannah Yeoh

Hannah ditemui pemberita selepas merasmikan Program ASEAN Youth Volunteer di Sasana Kijang, di sini hari ini.

Kelmarin, spekulasi masa depan beregu wanita utama negara, Pearly-Thinaah itu akhirnya terjawab apabila pasangan nombor tiga dunia berkenaan memutuskan untuk terus bernaung di BAM menerusi pengumuman yang dibuat Tengku Zafrul.

Dengan keputusan itu, Pearly-Thinaah akan terus kekal bersama BAM sehingga temasya Sukan Olimpik Los Angeles 2028.

Bagaimanapun, BAM tidak mendedahkan perincian kontrak berkenaan, namun difahamkan kedua-dua pemain menerima pakej bayaran lumayan berdasarkan status mereka.

Sementara itu, ditanya berkenaan dakwaan pasangan beregu berkenaan menerima tawaran kontrak bernilai RM1 juta yang dianggap terlalu tinggi dan boleh menjadi budaya tidak sihat dalam sukan badminton, Hannah berkata, setiap sukan mempunyai ekosistem berbeza.

“Apa yang tinggi (nilai tawaran) dalam sukan badminton, mungkin untuk sukan lain dilihat tidak tinggi. Ini adalah sport industry, sport market.

“Jadi saya serahkan kepada persatuan untuk berunding dan sudah pun berjaya, jadi saya ucapkan selamat maju jaya kepada Perly-Thinaah,” katanya.

Tambah beliau, pasangan beregu wanita berkenaan juga bukan sahaja merupakan prospek pingat emas pada Sukan Olimpik 2028, malah merupakan ikon perpaduan dalam bidang sukan. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast