KUALA LUMPUR – Parti Barisan Kemajuan India Se-Malaysia (IPF) berkata, pelaksanaan titah adendum ke atas Datuk Seri Najib Razak harus dilakukan dengan segera dan tidak dilengah-lengahkan selaras dengan prinsip menjunjung titah Raja dan memelihara keluhuran Perlembagaan.
Oleh yang demikian, presidennya, Datuk Loganathan Thoraisamy menyeru agar kerajaan, khususnya perdana menteri dan Jabatan Penjara Malaysia, mengambil tanggungjawab untuk memastikan titah adendum ini dilaksanakan secepat mungkin.
“Sebarang kelewatan hanya akan menimbulkan kekeliruan dan persepsi negatif terhadap prinsip kedaulatan undang-undang di negara ini,” katanya dalam kenyataan di sini.
Loganathan mengulas AGC dilaporkan tidak mempertikaikan kewujudan Titah Adendum dikatakan titah Yang di-Pertuan Agong ke-16 yang membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjara bawah tahanan rumah.
Bagaimanapun, AGC mempertikaikan prosedur untuk mengemukakan titah itu sebagai bukti baharu dalam permohonan semakan kehakiman Najib di Mahkamah Tinggi.
Sambil menyambut baik pengesahan oleh Jabatan Peguam Negara (AGC) titah adendum kepada Najib sememangnya wujud dan sah dari segi undang-undang, Loganathan percaya bahawa pelaksanaan titah tersebut akan membuka ruang kepada keadilan, belas ihsan dan pemulihan maruah buat bekas perdana menteri itu.
Malah, perkembangan tersebut sekali gus menolak segala tohmahan dan dakwaan segelintir pihak yang cuba menggambarkan titah tersebut sebagai ‘hearsay’ atau cakap-cakap kosong yang tidak mempunyai asas undang-undang.
“Titah adendum ini merupakan manifestasi kuasa Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong selaku Raja Berperlembagaan, yang wajib dihormati oleh semua pihak termasuklah institusi eksekutif negara.
“IPF menegaskan institusi Raja-Raja Melayu adalah tunjang kestabilan, kedaulatan dan keharmonian negara, maka sebarang titah rasmi daripada baginda tidak wajar dipertikai apatah lagi dipandang ringan,” ujar beliau.
Ketika ini, Najib sedang menjalani hukuman penjara sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd, memfailkan petisyen untuk mendapatkan Pengampunan Diraja pada 2 September 2022.
Lembaga Pengampunan kemudian mengurangkan hukuman penjaranya daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.
Dalam pada itu, katanya, IPF mendoakan agar Najib diberikan kekuatan, kesihatan yang baik serta terus tabah menghadapi cabaran.
“Sudah tiba masanya keadilan ditegakkan seiring dengan rasa kemanusiaan dan IPF berdiri teguh menjunjung kasih atas keprihatinan Seri Paduka Baginda dalam isu ini,” ujar Loganathan. – MalaysiaGazette
















