JASIN – Seorang pemilik kebun sawit terkejut apabila menemui sebutir objek dipercayai bom lama jenis UXO (Unexploded Ordnance) ketika melakukan kerja pembersihan di Felda Bukit Senggeh, Nyalas, petang tadi.
Ketua Polis Daerah Jasin, Superintendan Mohamad Rusli Mat berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam kira-kira jam 1.47 petang berhubung penemuan objek mencurigakan di kawasan kebun berkenaan.
Menurutnya, sepasukan Unit Pemusnah Bom dari Cawangan Persenjataan Bahagian Logistik dan Teknologi Ibu Pejabat Polis Daerah Jasin kemudian dikejarkan ke lokasi untuk pemeriksaan lanjut.
“Hasil pemeriksaan mendapati objek berkarat itu merupakan bom lama jenis UXO kategori bom berat 500 paun dipercayai peninggalan ketika konflik global Perang Dunia Ke-2 pada 1939 hingga 1945.
“Tindakan memusnahkan bom tersebut akan dijalankan pada esok mengikut prosedur operasi standard (SOP) ketat oleh Unit Pemusnah Bom Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, Mohamad Rusli turut menggesa orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menggugat ketenteraman awam dan keselamatan masyarakat setempat.
Untuk rekod, bom lama jenis UXO dilaporkan penah dijumpai di kawasan Melaka, Perak, Johor, Negeri Sembilan, dan Sabah yang dijatuhkan Jepun dan British ketika era Perang Dunia Ke-2 pada 1939 hingga 1945.
Bom jenis ini dengan saiz 500 pound 100 kali ganda lebih kuat dari bom mortar atau bom tangan dan letupannya boleh memusnahkan kawasan dalam radius 100 hingga 200 meter.
Malah, letupannya boleh didengar dari jarak lima hingga 10 kilometer, bergantung pada kawasan.
Berdasarkan rekod di Pulau Pinang pada 2019, letupannya telah membentuk kawah selebar lima meter. – MalaysiaGazette
















