KUALA LUMPUR – Dua lelaki warga Bangladesh, termasuk seorang pengarah syarikat pelancongan yang ibu pejabatnya di luar negara, direman enam hari oleh Mahkamah Majistret Putrajaya, hari ini.
Kedua-dua suspek disyaki mendalangi sindiket kemasukan warga asing dengan memberikan rasuah kepada pengawai penguatkuasa di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1.
Perintah reman sehingga 20 Julai ini terhadap kedua-dua suspek dibenarkan oleh Pegawai Pendaftar Kanan, Shaik Zuladdruse Merican Sadzol Othman Merican selepas permohonan dibuat Suruhanjaya pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Menurut sumber, kedua-dua suspek lelaki berusia lingkungan 50-an itu ditahan menerusi Op Recruit yang dilakukan SPRM di sekitar Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur antara jam 5 petang hingga 7 malam, semalam.
“Siasatan awal, mereka dipercayai merupakan ejen warga asing yang memberi rasuah kepada pegawai penguat kuasa di KLIA 1 bagi memudahkan kemasukan warga asing melalui pintu masuk negara.
“Modus operandi yang digunakan sindiket ini dengan mendekati pegawai penguat kuasa bagi menjalankan aktiviti ‘counter setting’ di mana pegawai terlibat akan memudahkan proses pemeriksaan warga asing tersebut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam serbuan itu, SPRM turut menyita tiga unit telefon bimbit dan pelbagai mata wang asing seperti dolar (Amerika Syarikat), rupiah (Indonesia) dan taka (Bangladesh) berjumlah kira-kira RM16,000.
Menurut sumber, bermula Januari hingga awal bulan ini, SPRM turut mengesan sebanyak 10 transaksi dilakukan melibatkan jumlah keseluruhan bernilai kira-kira RM138,000.
“Siasatan awal turut mendapati, bagi setiap individu, pegawai penguat kuasa yang terlibat akan diberikan rasuah antara kira-kira RM1,800 hingga RM2,500.
“Pembayaran yang dilakukan oleh sindiket ini secara tunai melalui orang tengah dan lokasinya adalah di dalam kenderaan serta premis kediaman suspek di sekitar Kuala Lumpur dan juga Negeri Sembilan,” jelasnya.
Terdahulu, operasi bersepadu itu dijalankan SPRM melalui Bahagian Perisikan di sekitar Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur bersama Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) KLIA.
Ia turut melibatkan Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) serta anggota Skuad Taktikal Antirasuah (ACTS) berpandukan maklumat hasil risikan dari awal tahun ini.
Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Perisikan, Datuk Saiful Ezral Arifin ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 16(b) Akta SPRM 2009. – MalaysiaGazette
















