Armin Baniaz Pahamin (tengah)

KUALA LUMPUR – Gerakan Ekonomi Malaysia (GEM) menyifatkan inisiatif Rakan KKM sebagai satu pengkhinatan terhadap prinsip asas kesihatan sejagat yang mana rawatan seharusnya diberikan mengikut keperluan perubatan, bukannya kemampuan kewangan.

Presidennya, Dr. Armin Baniaz Pahamin berkata, pelaksanaan skim itu menandakan satu peralihan yang membimbangkan daripada model perkhidmatan awam berasaskan hak kepada model pasaran yang mengutamakan kelebihan kewangan.

Sedangkan, ujar beliau, sistem kesihatan awam yang adil dan berkesan harus sentiasa meletakkan keutamaan klinikal melebihi pertimbangan komersial.

“Rakan KKM bukan reformasi, ia adalah penswastaan yang diselindungkan di sebalik bahasa kemajuan.

“Ia menjual keutamaan dalam sistem yang sepatutnya melindungi golongan paling terpinggir, bukan mereka yang paling kaya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kementerian Kesihatan (KKM) sebelum ini memperkenalkan inisiatif Rakan KKM iaitu kerjasama seluruh kerajaan untuk menambah baik hospital dan klinik KKM demi manfaat semua rakyat Malaysia.

Program itu menawarkan perkhidmatan “premium ekonomi” di hospital awam terpilih bagi rawatan elektif pesakit luar, harian dan dalam wad – termasuk penjagaan peribadi, pilihan pakar dan privasi yang dipertingkat.

Bagaimanapun, inisiatif itu dipersoal beberapa pihak termasuk Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) yang menggesa KKM menangani kebimbangan ia akan mewujudkan ketidaksamaan kerana pesakit yang lebih kaya akan mendapat perkhidmatan yang lebih pantas.

Sementara itu, Armin Baniaz berkata, sekiranya dilaksanakan tanpa pengawalseliaan yang ketat, tanpa ketelusan dan tanpa rangka kerja keadilan sosial yang jelas, Rakan KKM boleh menjadi permulaan kepada pengkomersialan sistem kesihatan yang lebih meluas.

Akibatya, dakwa beliau, inisiatif itu akhirnya akan meminggirkan komuniti yang paling memerlukan perlindungan khususnya golongan marhaen.

Dalam masa sama, beliau membandingkan model dual practice itu di negara seperti United Kingdom, Australia dan Perancis yang hanya diperkenalkan selepas infrastruktur kesihatan awam diperkuatkan terlebih dahulu melalui pemantauan bebas, pengasingan sumber yang tegas serta tadbir urus yang telus dan bertanggungjawab.

Sebaliknya di Malaysia, sistem kesihatan negara masih berdepan cabaran serius termasuk kekurangan 11,000 pakar perubatan, manakala hospital awam berdepan masalah fasiliti usang, beban kerja yang berlebihan dan kesesakan melampau.

“Dalam keadaan rapuh ini, memperkenalkan model rawatan berbayar seperti Rakan KKM hanya akan mengalihkan masa dan tumpuan pakar kesihatan awam kepada pesakit yang mampu membayar, lalu menjejaskan akses dan kualiti rawatan untuk majoriti rakyat,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa KKM menangguhkan serta-merta pelaksanaan skim Rakan KKM dan melaksanakan satu kajian semula yang menyeluruh, bebas dan telus terhadap kesan jangka panjangnya terhadap keadilan, akses dan integriti sistem kesihatan negara.

“Ini bukan sekadar kesilapan dasar, ia adalah krisis moral dan sosial yang sedang terbentuk.

“Jika kerajaan terus memilih jalan ini, ia bukan sedang membaiki sistem tetapi ia sedang menyingkirkan rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast