Tangkap layar menunjukkan seorang lelaki dipukul sebelum dipaksa masuk ke dalam kenderaan pacuan empat roda dalam kejadian di Seberang Perai Selatan, Pulau Pinang.

NIBONG TEBAL – Polis sedang mengesan tiga lelaki bagi membantu siasatan berhubung kejadian seorang lelaki dipukul sebelum dipaksa masuk ke dalam kenderaan pacuan empat roda dalam kejadian di Seberang Perai Selatan, Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Jay January Siowou berkata, pihaknya mengesan rakaman video berdurasi dua minit lima saat yang dimuat naik di aplikasi TikTok dan memaparkan kejadian itu.

“Video berkenaan menunjukkan seorang lelaki dipukul di bahagian kepala dan badan oleh tiga individu tanpa menggunakan sebarang senjata sebelum dia dipaksa masuk ke dalam kenderaan.

“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku kira-kira jam 7.16 malam pada Rabu lalu dan dipercayai berpunca daripada dakwaan kecurian barang kemas melibatkan mangsa.

“Mangsa menerima rawatan di hospital dan disahkan mengalami kecederaan di bahagian muka dan kepala,” katanya dalam kenyataan di sini.

Tambah beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan yang mendatangkan mudarat.

Dalam pada itu, Jay January berkata, mangsa turut ditahan polis bagi membantu siasatan kes curi dan kini direman selama empat hari sehingga 20 Julai ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast