KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman seorang pengurus kontrak sebuah syarikat pembinaan terkemuka bersama isterinya serta dua pengarah syarikat dipercayai terbabit rasuah melibatkan perolehan tender projek pembinaan pusat data di Johor bernilai kira-kira RM180 juta.

Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin, membenarkan suspek lelaki yang berjawatan pengurus kontrak syarikat direman selama tujuh hari sehingga 24 Julai 2025.

Sementara isterinya direman selama tiga hari sehingga 2 Julai 2025.

Manakala dua suspek lelaki berjawatan pengarah syarikat berkenaan direman selama lima hari sehingga 22 Julai 2025 selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya, pagi tadi.

Menurut sumber, kesemua suspek yang berusia lingkungan 40 hingga 60-an itu telah ditahan dalam Op Ways yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan SPRM di sekitar Lembah Klang, semalam.

Katanya ketika operasi, SPRM turut menyita wang tunai kira-kira RM7.5 juta yang ditemui di rumah milik pengurus kontrak syarikat berkenaan.

“Wang itu dipercayai rasuah yang dibayar kepada suspek sebagai balasan mendapatkan enam tender perolehan projek berkenaan.

“Siasatan awal mendapati suspek telah menetapkan bayaran wang rasuah sebanyak 2.5 peratus bagi setiap tender perolehan projek yang diperoleh dua syarikat berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 16(a)(A) dan Seksyen 17(A) Akta SPRM 2009.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast