Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Seorang pemandu e-hailing berputih mata apabila mengalami kerugian sebanyak RM301,300 selepas terpedaya dengan skim pelaburan atas talian yang tidak wujud.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd. Sohaimi Ishak berkata, mangsa berusia 67 tahun itu mendakwa kejadian bermula sejak April lalu selepas berkenalan dengan seorang wanita tempatan.

Menurutnya, wanita tersebut memperkenalkan satu skim pelaburan melibatkan saham luar negara yang kononnya menawarkan pulangan lumayan dalam tempoh singkat.

“Mangsa yang mempercayai janji wanita itu telah melakukan sebanyak 11 transaksi ke empat akaun bank berbeza dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM301,300.

“Namun, mangsa tidak menerima sebarang keuntungan seperti dijanjikan, sebaliknya diminta membuat bayaran tambahan bagi tujuan pengeluaran hasil keuntungan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd. Sohaimi berkata, mangsa hanya menyedari dirinya ditipu apabila usaha mendapatkan semula wang pelaburannya gagal dan wanita tersebut tidak lagi dapat dihubungi.

Jelasnya, mangsa membuat laporan polis pada Isnin lalu bagi tindakan lanjut.

“Siasatan awal menerusi platform Semak Mule oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) mendapati tiga daripada akaun yang digunakan mempunyai 27 rekod laporan polis berkaitan penipuan pelaburan,” ujarnya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast