Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim

 

PUTRAJAYA  – Sebanyak 86.4 peratus daripada lebih 3,000 projek pelaburan yang diluluskan dari tahun 2022 hingga tahun ini telah dilaksanakan,  kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata, jumlah itu sekali gus menepis dakwaan kemasukan pelaburan yang dibawa masuk ke negara ini oleh kerajaan sebelum ini hanya cakap-cakap kosong.

Jelas beliau, pada suku pertama tahun ini, sebanyak 49.8 peratus pelaksanaan projek baharu pelaksanaannya sedang berjalan dan Menteri Perdagangan, Pelaburan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz akan terus memaklumkan tentang fakta pelaburan itu secara terperinci.

Anwar Ibrahim bersama Timbalan Perdana Menteri I, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalan Perdana Menteri II, Datuk Seri Fadillah Yusof ketika hadir ke Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri bagi Bulan Julai 2025 di Puspanitapuri, Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 21 JULAI 2025

 

“Kita catat pelaburan yang diluluskan dari 2022 hingga 2025, 3,400 (projek) tetapi yang telah beroperasi kena ingat daripada 3,000 projek itu, kadar pelaksanaan 86.4 peratus sudah beroperasi, orang kata pelaburan berbilion tiada ada apa pun, sudah beroperasi.

“Umpamanya 2023 (90.6 peratus yang dilaksanakan),  2024 (79.2 peratus), suku pertama 2025 (49.8 peratus) projek baharu pelaksanaannya sedang berjalan.

“Saya sudah maklum kepada Menteri Tengku Zafrul, untuk terus memaparkan kenyataan ini, kilang di mana, di Kulim Hitech atau pun Johor atau Sarawak atau pun Sabah atau pun di Lembah Klang atau di Kuala Lumpur dan ini kebanyakan di sektor pembuatan.

“Dan ia memberikan peluang pekerjaan tentunya dan peningkatan yang ketara adalah bidang digital dan hijau,” katanya.

Anwar Ibrahim bersama Timbalan Perdana Menteri I, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalan Perdana Menteri II, Datuk Seri Fadillah Yusof ketika hadir ke Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri bagi Bulan Julai 2025 di Puspanitapuri, Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 21 JULAI 2025

 

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Perjumpaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama warga Jabatan Perdana Menteri bagi Bulan Julai Tahun 2025 di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Anwar memberitahu, pusat memudah cara pelaburan Malaysia atau Invest Malaysia Facilitation Centre (IMFC) yang ditubuhkan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) telah menerima permohonan 28,166 projek dan kadar penyelesaian 99 peratus.

“Ini saya umum dan jenteranya penjawatan awam. Bila ada pelaksanaan penjawat awam dengan jauh lebih cepat dan berkesan, kita iktiraf. Kalau ada satu dua aduan, tak apalah. Tapi janganlah seolah-olah tak buat kerja apa pun dan catatan pelaburan,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast