KUALA LUMPUR – Parti MUDA mencadangkan penubuhan semula Kementerian Wilayah Persekutuan khusus bagi menangani isu perbandaran, keadilan sosial dan pembangunan inklusif di ketiga-tiga wilayah tersebut.
Dalam masa sama, parti itu dalam kenyataan hari ini menggesa Majlis Penasihat Wilayah distruktur semula supaya benar-benar bebas, profesional dan inklusif serta dianggotai oleh wakil masyarakat pelbagai latar belakang tanpa pengaruh politik kepartian.
Menurutnya, MUDA juga menggesa kerajaan memulakan semula perbincangan menyeluruh mengenai pelaksanaan pilihan raya kerajaan tempatan supaya warganya benar-benar mempunyai suara dalam menentukan masa depan bandar mereka.
Jelasnya, Wilayah Persekutuan yang merangkumi Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan tidak mempunyai kerajaan negeri seperti negeri-negeri lain, justeru memerlukan struktur tadbir urus yang fokus, telus dan bertanggungjawab terus kepada warganya.
“Warga bandar memerlukan ruang perwakilan yang lebih bermakna dan bebas daripada kepentingan politik peribadi, perwakilan yang benar-benar menyuarakan aspirasi warga Wilayah dan bukan sekadar menjadi pelengkap kepada kuasa politik sedia ada,” katanya.
Kenyataan itu dikeluarkan secara bersama oleh Ketua Penerangan MUDA Wilayah Persekutuan, Shah Fariq Aizal dan Ketua MUDA Bahagian Cheras, Daniel Lim.
Terdahulu, Pergerakan Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan dalam mesyuarat bahagian itu baru-baru ini meluluskan usul yang mencadangkan Jabatan Wilayah Persekutuan diletakkan secara rasmi di bawah seliaan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Ketuanya, Datuk Aliff Firdaus Abd Hadi berkata, langkah itu merupakan tindakan strategik bagi mengembalikan semula struktur tadbir urus yang lebih teratur dan berfokus kepada Wilayah Persekutuan khususnya selepas pembubaran Kementerian Wilayah Persekutuan pada tahun 2022.
Sementara itu, mengulas cadangan berkenaan, kenyataan yang sama berkata, ia menimbulkan persoalan sama ada gesaan itu bertujuan memusatkan lebih banyak kuasa di bawah seorang tokoh politik yang sudah pun memegang portfolio besar seperti Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah.
Katanya, MUDA khuatir cadangan itu akan menyebabkan Wilayah Persekutuan terus terpinggir daripada tumpuan dasar yang sepatutnya bersifat perbandaran, progresif dan inklusif.
“Cadangan ini juga seolah-olah memberi gambaran jawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) kini tidak lagi berfungsi secara efektif. Namun penilaian prestasi mana-mana menteri sewajarnya dilakukan secara telus dan berasaskan hasil, bukan melalui pengalihan kuasa secara politik,” katanya.
Tambah kenyataan itu, sekiranya Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan serius mahu membawa suara rakyat, sayap parti berkenaan boleh menggunakan saluran Sidang Belia Wilayah Persekutuan (SBWP) atau berinteraksi terus dengan Menteri Wilayah yang merupakan rakan mereka dalam kerajaan.
“Tidak perlu membentangkan usul semata-mata untuk meraih sokongan dalaman parti atau mencatur strategi politik yang lebih utama ialah memperjuangkan cadangan yang berdaya saing dan meyakinkan rakyat secara keseluruhan,” katanya. – MalaysiaGazette
















