KUANTAN – Seorang pensyarah lelaki berputih mata selepas terpedaya dengan sindiket penipuan atas talian sehingga mengalami kerugian RM267,000.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, mangsa berusia 57 tahun mula termakan taktik suspek setelah dimaklumkan akaun bank beliau terlibat dalam aktiviti sindiket ‘keldai akaun’ di Johor.
”Pada 12 Jun 2025, mangsa menerima panggilan telefon daripada individu yang mendakwa diri sebagai wakil AMLA.
”Panggilan tersebut kemudiannya disambungkan kepada individu lain yang memperkenalkan diri sebagai Sarjan Nizam dari IPK Johor,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Mangsa seterusnya diperdaya kononnya terlibat dalam kegiatan pengubahan wang haram dan diminta untuk memindahkan wang bagi tujuan kononnya menyelesaikan kes dan membatalkan waran tangkap terhadapnya.
Susulan itu mangsa telah melakukan 17 transaksi wang ke dalam empat akaun bank berbeza bermula dari 18 Jun 2025 hingga 19 Julai 2025, menggunakan wang simpanan serta pinjaman daripada bank.
Polis Pahang menasihatkan orang ramai yang menerima panggilan yang meragukan untuk segera membuat semakan dengan pihak Polis atau agensi kerajaan berkenaan bagi mengelakkan dari menjadi mangsa penipuan.
Masyarakat juga diingatkan supaya membuat semakan nombor akaun dan nombor telefon yang diterima dipautan https://semakmule.rmp.gov.my terlebih dahulu sebelum membuat sebarang transaksi.
Sebarang maklumat atau keraguan berkaitan kes seumpama ini boleh disalurkan terus kepada Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997 atau hadir di mana-mana balai polis berhampiran. – MalaysiaGazette















