JPJ Selangor menahan salah satu warga asing yang melakukan kegiatan prebet sapu secara haram di Subang Jaya. Foto Ihsam JPJ Selangor.

KUALA LUMPUR – Empat lelaki warga asing yang menjalankan perkhidmatan prebet sapu secara haram ditahan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor berhampiran sebuah pusat beli belah di Subang Jaya, Selangor pada Isnin.

Mereka menjalankan kegiatan haram itu sejak dua tahun lalu dan dipercayai mengenakan caj kira-kira RM250 bagi perjalanan dari hotel ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Pengarah JPJ Selangor, Azrin Borhan berkata, kesemua suspek berusia 40 hingga 55 tahun terdiri daripada tiga warga Yaman dan seorang warga Emiriah Arab Bersatu dicekup dalam operasi jam 10.30 pagi hingga 2 petang.

Tambah beliau, ia dilaksanakan hasil risikan dan pemantauan berterusan terhadap penyalahgunaan Lesen Kenderaan Bermotor (LKM) dan pengangkutan tanpa lesen sah.

“Kita telah menyita empat buat kenderaan terdiri daripada satu Perodua Alza, dua Hyundai Stared dan sebuah Toyota Innova yang kemudiannya di bawa ke JPJ Shah Alam.

“Siasatan mendapat, kesemua kenderaan itu digunakan untuk mengangkut penumpang secara haram, terutama pelancong asing,” katanya.

Antara salah satu warga asing yang ditahan dikesan melakukan kegiatan prebet sapu secara haram di Subang Jaya. Foto Ihsam JPJ Selangor.

Tambah beliau, antara kesalahan dikenal pasti adalah penyalahgunaan lesen kenderaan motor (LKM), tiada lesen memandu sah serta menjalankan aktiviti pengangkutan awam tanpa kebenaran.

“Tindakan dijalankan mengikut Seksyen 23 dan Seksyen 26 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan sitaan kenderaan terlibat dibuat di bawah Seksyen 64 akta sama,” jelasnya.

Ujarnya, JPJ Selangor akan terus memantau dan mengambil tindakan tegas terhadap kegiatan pengangkutan haram melibatkan penyalahgunaan kenderaan persendirian termasuk oleh warga asing.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kegiatan seumpama ini boleh menyalurkan aduan ke [email protected] atau menerusi aplikasi e-Aduan dengan menyertakan maklumat lengkap pengadu dan butiran kejadian.

“Perkhidmatan prebet sapu ini bukan sahaja menyalahi undang-undang malah membahayakan keselamatan penumpang serta pengguna jalan raya lain,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast