Kementerian Luar Negeri di Putrajaya.

KUALA LUMPUR – Malaysia mengecam sekeras-kerasnya keputusan rejim Zionis Israel melalui Knesset (Parlimen) padA 23 Julai lalu yang mengisytiharkan pengilhakan Tebing Barat sebagai sebahagian daripada wilayah Israel.

Keputusan itu tegas Kementerian Luar Negeri, merupakan satu pelanggaran jelas terhadap undang-undang antarabangsa, termasuk Konvensyen Geneva Keempat.

Tindakan tersebut turut mencabuli beberapa resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), khususnya Resolusi 242 (1967), 338 (1973), dan 2334 (2016), yang menolak sebarang usaha untuk membenarkan pendudukan haram rejim Zionis terhadap Wilayah Palestin yang Diduduki.

“Keputusan ini merupakan satu lagi tindakan provokatif dan manifestasi jelas sikap rejim Zionis yang secara terang-terangan menafikan hak rakyat Palestin, termasuk hak untuk menentukan nasib sendiri, hak untuk kembali ke tanah air mereka serta hak untuk menentang pendudukan sepertimana yang dijamin oleh Piagam PBB.

“Tindakan agresif rejim Zionis semakin berterusan disebabkan tiada hukuman yang dikenakan ke atas perbuatan jenayahnya di Wilayah Palestin yang Diduduki selama beberapa dekad,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, Malaysia menggesa masyarakat antarabangsa dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk menolak sekeras-kerasnya usul berkenaan dan mengambil langkah konkrit bagi menghentikan pencabulan sistematik Israel terhadap undang-undang antarabangsa.

Sekiranya dibiarkan berlarutan, masyarakat antarabangsa juga akan turut dipertanggungjawabkan dalam jenayah perang yang dilakukan oleh rejim Zionis Israel terhadap rakyat Palestin.

Malaysia sekali lagi menegaskan solidariti tidak berbelah bahagi kepada rakyat Palestin dan hak mereka yang tidak boleh dinafikan untuk menentukan nasib sendiri.

Malaysia kekal teguh menyokong penubuhan sebuah Negara Palestin yang merdeka dan berdaulat, berdasarkan sempadan pra-1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara, serta keahlian penuh Palestin dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast