PUTRAJAYA – Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan `Himpunan Turun Anwar’ anjuran pembangkang di sekitar Dataran Merdeka semalam merupakan usaha untuk menyemai sentimen politik kebencian dalam kalangan masyarakat.
Perdana Menteri berkata, beliau sudah menilai isu-isu yang dikemukakan namun tiada perkara berbangkit seperti ekonomi, pendidikan, perpaduan dan kestabilan negara, diketengahkan.
“Saya ucapkan terima kasih, semua selesai dengan aman. Saya sudah lihat isu-isu dibangkitkan, yang ada hanya `Turun Anwar’.
“ Ini pun saya baru turun dari Muar dan akan ke Kelantan, minggu depan,” ujar beliau selepas program Seminar Pemantapan Organisasi dan Pertemuan Bersama Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.
Ketika ditanya tindakan rakyat yang mengadakan perhimpunan meskipun pelbagai inisiatif dilakukan kerajaan, Anwar berkata, mereka bebas melakukannya kerana Malaysia sebuah negara demokrasi.
Ujar Perdana Menteri, kerajaan harus memberi penjelasan kerana dalam temubual yang disiarkan, ramai yang mempertikaikan harga minyak naik, walhal minyak turun.
“Ini hanya sentimen politik, kebencian dan tidak ikut fakta. Rakyat boleh menilai dan jika ada kelemahan, kita perbaiki. Saya tidak katakan apa yang dilakukan itu sempurna,” ujar beliau.
Dalam perkembangan berlainan, Perdana Menteri berkata, pihaknya bersedia berdepan dengan segala kemungkinan berhubung cadangan Perikatan Nasional (PN) untuk mengemukakan usul undi tidak percaya terhadapnya.
Beliau berkata, pihaknya terbuka dengan cadangan usul yang dibayangkan oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan menyifatkan tindakan itu merupakan proses yang betul.
“Kalau Datuk Seri Hamzah ingin membawa usul undi tidak percaya, silakan. Kita terbuka, ini proses yang betul. Sudah tiga tahun disebut-sebut untuk dibawa ke Parlimen,” ujarnya.
Semalam, media melaporkan, Hamzah membayangkan untuk menghantar usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri.
Menurut beliau, usul itu akan dipertimbang untuk dihantar kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Johari Abdul dalam masa terdekat.
Bagaimanapun kenyataan itu berlainan daripada Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang menjelaskan setakat ini pihaknya tidak bercadang untuk berbuat demikian.
Menurut Ahli Parimen Kota Bharu itu, undi tidak percaya bukan hanya boleh berlaku di Parlimen, sebaliknya rakyat turut boleh berbuat demikian pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang. – MalaysiaGazette
















