KUALA LUMPUR – Orang ramai diminta membantu mengesan seorang remaja perempuan berumur 14 tahun yang dipercayai hilang di Taman Ehsan, Kepong sejak Rabu lalu.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, pihaknya telah menerima laporan kehilangan remeja ini daripada datuknya.
“Berdasarkan laporan, datuk mangsa mendakwa telah menghantar cucunya ke sebuah sekolah menengah di Taman Ehsan, Kepong sekitar jam 7 pagi sehingga dia masuk ke dalam pagar sekolah.
“Sekitar jam 12.30 tengah hari, lelaki itu datang untuk menjemput cucunya semula namun sehingga jam 1.30 petang, remaja terbabit masih belum keluar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, isterinya kemudian menghubungi guru kelas remaja berkenaan untuk bertanyakan cucunya.
“Guru kelas memaklumkan cucunya tidak hadir ke sekolah dan oleh kerana bimbang akan keselamatan mangsa, lelaki berkenaan kemudiannya tampil membuat laporan polis.
“Siasatan telah dijalankan di bawah Orang Hilang (OH),” ujarnya.
Bagaimanapun katanya, usaha mengesan remaja itu sedang giat dijalankan pegawai penyiasat juga sentiasa berhubung dengan datuk mangsa.
Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan remaja terbabit diminta tampil atau menghubungi mana-mana balai polis berdekatan untuk membantu siasatan. – MalaysiaGazette
















