KUALA LUMPUR – Cubaan seorang wanita menyeludup masuk empat produk kesihatan tidak berdaftar dengan Kementerian Kesihatan (KKM) dan disyaki mengandungi racun berjadual bernilai kira-kira RM4,460 berjaya dirampas di pintu masuk Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, Kedah semalam.
Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) berkata, hasil pemeriksaan mendapati keempat-empat item berkenaan tidak berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) yang juga disyaki mengandungi racun yang dikawal di bawah Akta Racun 1952.
“Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) telah merujuk produk berkenaan kepada Bahagian Penguatkuasaan Farmasi, KKM pada jam 3:30 petang,” kata AKPS menerusi kenyataan.
Untuk rekod, tahun ini, KKM telah menyerahkan kepada JKDM 32 barangan dengan nilai keseluruhan RM32,986.
Untuk rekod, tahun ini KKM telah menyerahkan kepada JKDM sebanyak tujuh barangan bernilai RM2,640 pada Januari, 18 barangan bernilai RM25,116 pada Mac diikuti sebanyak tujuh barangan bernilai RM5,230 pada Julai, katanya.
Menurut AKPS, tindakan lanjut juga akan merangkumi proses pelucuthakan dan pelupusan barangan tersebut dan siasatan lanjut ke atas wanita terbabit dilakukan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.
“AKPS tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba menyeludup masuk barangan terlarang yang boleh mengancam keselamatan dan kesihatan awam,” tambahnya.-MalaysiaGazette
















