Oleh: Ismail Hashim Yahaya
DI Putrajaya, di bawah naungan diplomasi yang luhur, dua negara yang berseteru kini memilih jalan damai. Thailand dan Kemboja bersetuju melaksanakan gencatan senjata serta-merta tanpa syarat satu langkah yang membuka ruang untuk menenangkan sengekta sempadan dan mengembalikan ketenangan kepada rakyat yang terjejas.
Mesyuarat Khas yang mempertemukan Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet dan Pemangku Perdana Menteri Thailand, Phumtham Wechayachai, berlangsung dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai hos pendamai dan Pengerusi ASEAN.
Beliau menjadi saksi kepada detik penting yang mungkin menjadi titik tolak kepada keamanan serantau yang lebih mampan. Dalam sidang media bersama, Anwar menyatakan bahawa kedua-dua negara bersetuju untuk melaksanakan beberapa langkah susulan demi memastikan damai bukan sekadar jeda tetapi permulaan kepada pemulihan yang lebih mendalam.
Konflik antara Thailand dan Kemboja bukan sekadar di sekitar pertikaian sempadan fizikal. Ia menyentuh akar sejarah, warisan budaya dan maruah nasional yang telah lama terpendam. Kuil Preah Vihear, yang menjadi titik sengketa bukan hanya struktur batu di atas bukit tetapi lebih dalamm lagi adalah lambang ketamadunan, identiti dan tuntutan jiwa bangsa kedua negara.
Pertempuran yang tercetus baru-baru ini telah meragut puluhan nyawa dan memaksa ribuan penduduk meninggalkan tanah kelahiran mereka. Dalam suasana yang sarat dengan emosi dan nasionalisme, kehadiran Malaysia sebagai pemudah cara bukan sahaja meredakan ketegangan malah sebagai membuka ruang untuk pendekatan yang lebih berakar dari nilai serantau.
Malaysia tidak hadir sebagai kuasa besar yang memaksakan penyelesaian, tetapi sebagai kuasa tengah yang menawarkan ruang rundingan yang beradab. Pendekatan ini bukan baharu. Dua dekad lalu, Malaysia memainkan peranan serupa dalam meredakan ketegangan antara China dan Jepun iaitu dua negara yang berselisih tentang sejarah perang dan tuntutan ke atas Kepulauan Senkaku/Diaoyu.
Ketika itu Malaysia menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak Asia Timur 2005, dan berjaya mencipta suasana rundingan yang tenang walaupun isu yang dibincangkan bersifat sensitif dan berlapis. Malaysia tidak menyelesaikan konflik secara mutlak tetapi berjaya memulihkan komunikasi dan membina semula kepercayaan. Diplomasi seperti ini yang berakar dari hikmah, kesantunan dan keseimbangan boleh disebut sebagai diplomasi ketamadunan dalam hubungan antarabangsa.
Ia tidak bergantung kepada tekanan atau dominasi tetapi kepada nilai yang hidup dalam masyarakat serantau: menghormati, mendengar dan mencari titik temu. Peranan Malaysia sebagai kuasa tengah dalam ASEAN semakin relevan dalam dunia yang dipenuhi ketegangan geopolitik dan tekanan hegemoni. Dalam kalangan negara anggota yang berbeza dari segi sejarah, budaya dan sistem politik, Malaysia berupaya menjadi penjaga keseimbangan bukan kerana kekuatan ketenteraan tetapi kerana kepercayaan yang dibina melalui konsistensi dan kebijaksanaan.
Pendekatan ini selari dengan Tema ASEAN 2025 iaitu ‘Keterangkuman dan Kemampanan’ yang mencerminkan komitmen Malaysia sebagai pengerusi ASEAN untuk memastikan pembangunan serantau yang adil, inklusif dan berterusan. Tema ini juga menekankan pentingnya kerjasama dan keamanan serantau dan global serta memastikan kesejahteraan rantau Asean yang bebas daripada konfklik.
Ia juga meruapakan aspirasi ASEAN yang menekankan nilai ihsan, hikmah dan kemuliaan dalam hubungan antarabangsa. Apa yang menjadikan rundingan ini lebih bermakna ialah hakikat bahawa ia berlaku tanpa campur tangan kuasa luar seperti Amerika Syarikat atau China. Dalam beberapa konflik serantau sebelum ini, kuasa besar sering tampil menawarkan mediasi melalui pelbagai mekanisme namun kehadiran mereka kadangkala membawa beban geopolitik yang tidak selari dengan keperluan tempatan.
Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN memilih untuk memulihkan kepercayaan dalaman blok serantau. Rundingan ini membuktikan bahawa ASEAN masih memiliki keupayaan untuk menyelesaikan konflik secara bermaruah, berasaskan nilai serantau dan bebas dari tekanan luar. Pendekatan ini bukan sahaja memperkukuh legitimasi ASEAN sebagai platform damai sekaligus juga mengangkat Malaysia sebagai pemegang amanah diplomasi yang berjiwa dan berakar dari tamadun sendiri Malaysia tidak perlu menjadi kuasa besar untuk dihormati; ia hanya perlu menjadi negara yang terbaik berakar dari tamadun sendiri dan berjiwa dalam tindakan.
Gencatan senjata antara Thailand dan Kemboja bukan sekadar kejayaan diplomatik tetapi cerminan bahawa pendekatan ketamadunan masih relevan dan berkesan. Malaysia sebagai kuasa tengah pendamai ASEAN telah menunjukkan bahawa damai bukan hasil rundingan teknikal semata-mata tetapi buah daripada nilai yang dihayati dan diamalkan.
Kepimpinan Anwar sebagai Pengerusi ASEAN memberi penekanan kepada rundingan dan mediasi, wajar dijadikan model serta mekanisme penyelesaian ertikaian serantau pada masa depan, kata Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari. Dalam dunia yang retak dan mudah terbelah, Malaysia berdiri di tengah bukan untuk menguasai tetapi untuk mendamaikan. Dan dalam usaha itu, ia bukan sahaja menjaga damai, tetapi juga menjaga tamadun yang menjadi akar kekuatannya.

Penulis adalah pemerhati geopolitik dan hubungan antarabangsa















