Gambar hiasan

PERSIDANGAN DAP dan Kongres PKR yang berlangsung pada pertengahan Ogos 2026 bukan sekadar acara rutin parti. Ia pun sudah seminggu berlalu.

Kedua-duanya hadir ketika Pakatan Harapan (PH) sedang berdepan persoalan yang besar iaitu tentang daya tahan politiknya menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

Selepas kekalahan dalam tiga pilihan raya negeri berturut-turut di Sabah, Johor dan Negeri Sembilan, persoalan yang perlu dijawab bukan lagi sekadar siapa yang patut memimpin PH, tetapi sama ada gabungan ini masih mempunyai formula politik yang mampu memenangkan pilihan raya atau tidak?

Keputusan DAP untuk kekal dalam Kerajaan Perpaduan sehingga tamat penggal memberikan sedikit kepastian terhadap kestabilan kerajaan. Dalam pengundian usul, 1,857 perwakilan menyokong keputusan untuk kekal, berbanding 242 yang mahu parti keluar. Namun, keputusan tersebut tidak semestinya bermakna persoalan mengenai masa depan PH telah selesai. Sebaliknya, ia meletakkan tanggungjawab baharu kepada DAP untuk membuktikan bahawa penyertaan dalam kerajaan menghasilkan perubahan yang boleh dirasai rakyat. Komitmen untuk laksanakan segala hutang reformasi mesti dilangsaikan sebelum PRU16 bakal tiba.

Pada masa yang sama, Kongres PKR berlangsung dalam suasana yang lebih mencabar dan emosi. Parti yang menjadi teras kepimpinan PH dan mempunyai Presiden yang juga Perdana Menteri perlu berdepan persoalan tentang kemerosotan sokongan dalam pilihan raya negeri serta keupayaan menterjemahkan kedudukan di Putrajaya kepada kekuatan akar umbi. Maka, jika DAP sedang menentukan bagaimana ia mahu menggunakan kuasa dalam kerajaan, PKR pula perlu menjawab bagaimana kuasa tersebut boleh diterjemahkan kembali menjadi kepercayaan pengundi.

PH hilang penguasaan kerusi Semenanjung

Kebimbangan tersebut bukan tanpa asas.

Analisis Malaysiakini berdasarkan pola undi PRU15 menunjukkan bahawa sekiranya BN dan PN berjaya menggabungkan kekuatan dalam pertandingan satu lawan satu, PH di Semenanjung berpotensi tinggal sekitar 43 kerusi Parlimen sahaja, manakala BN-PN berpotensi memperoleh 122 kerusi.

Angka ini tidak wajar dianggap sebagai ramalan muktamad PRU16. Politik pilihan raya sentiasa berubah mengikut prestasi kerajaan, calon, isu semasa, peralihan sokongan dan bentuk kerjasama antara parti.

Namun, angka tersebut penting sebagai ukuran risiko. Sinar Harian pula melaporkan PH berdepan kemungkinan kehilangan 27 kerusi Parlimen termasuk Tambun yang disandang Perdana Menteri, sekiranya BN dan PN mencapai persefahaman satu lawan satu.

Yang lebih menarik ialah komposisi risiko tersebut. DAP diunjurkan berkurang daripada 33 kepada 30 kerusi di Semenanjung, sedangkan PKR berpotensi merosot daripada 28 kepada hanya 11 kerusi. AMANAH pula berisiko turun daripada lapan kepada dua kerusi. Hal ini sudah tentu menggusarkan War Room PH.

Ini memberi satu petunjuk penting di mana krisis PH bukan semata-mata krisis DAP.

Cabaran yang lebih besar ialah keupayaan PKR dan AMANAH mengekalkan kedudukannya sebagai parti yang mampu merentas segmen pengundi, khususnya pengundi Melayu dan kawasan campuran.

Formula BN-PN ini relevan ke?

Selama ini, sebahagian kekuatan PH dalam pilihan raya datang daripada struktur pertandingan tiga penjuru. Dalam keadaan BN dan PN berpecah, PH boleh memenangi sesetengah kerusi walaupun tidak mempunyai majoriti undi.

Tetapi jika BN dan PN berjaya menyelaraskan calon dan strategi, kelebihan tersebut boleh hilang.

Keputusan PRN Negeri Sembilan memberikan gambaran awal. BN dan PN menguasai 25 daripada 36 kerusi, sementara PH memperoleh 11 kerusi. Lebih penting, perkembangan ini menunjukkan bagaimana perubahan konfigurasi pertandingan boleh menghasilkan keputusan yang jauh berbeza daripada kekuatan undi popular semata-mata.

Justeru, cabaran PH menjelang PRU16 bukan sekadar meningkatkan jumlah penyokong. PH perlu memastikan sokongan tersebut diterjemahkan kepada kemenangan kerusi dalam pertandingan yang mungkin semakin bipolar.

Di sinilah masa depan PH menjadi sangat kritikal.

Masa depan PH bergantung kepada pembahagian kerja politik

Saya kira DAP mempunyai kekuatan yang relatif kukuh dalam kawasan bandar dan segmen bukan Melayu. PKR pula sepatutnya menjadi jambatan kepada pengundi Melayu dan kawasan campuran. AMANAH mempunyai potensi membina keyakinan dalam segmen Melayu-Muslim yang lebih sederhana.

Tetapi PKR dan AMANAH dilihat gagal untuk terjemahkan dalam bentuk undi pada PRN Johor dan PRN Negeri Sembilan yang lalu.

Jika PKR terus kehilangan kerusi Melayu dan campuran, PH akan menjadi semakin bergantung kepada kekuatan DAP. Jika DAP pula gagal meyakinkan pengundi di luar kubu tradisinya, PH akan sukar membentuk majoriti nasional.

Naratif lawan seperti “DAP, DAP dan DAP” akan terus berteriakan dan menakutkan orang Melayu. Jika anda lihat senario di Johor dan Negeri Sembilan, majoriti pembangkang adalah daripada DAP dan berbangsa Cina.

Justeru, selepas kedua-dua kongres, PH memerlukan bukan sekadar penyelarasan strategi pilihan raya tetapi pembaharuan kontrak politik antara parti komponennya.

Apa PH boleh lakukan?

PH melakukan reset strategik. PKR memperbaharui organisasi dan naratifnya, DAP perlu membuktikan hasil penyertaannya dalam kerajaan dan AMANAH memperkukuh pengaruh dalam masyarakat Melayu-Muslim.

Kongres DAP dan PKR tidak menutup persoalan tentang masa depan PH. Cabaran terbesar selepas ini bukanlah mempertahankan kerusi menteri atau menyelesaikan perbezaan dalaman parti, tetapi mengembalikan keyakinan pengundi bahawa PH mempunyai sesuatu yang lebih besar untuk ditawarkan.

BN-PN dilihat lebih selesa dengan gelombang sekarang ini.

Masa depan PH bukan sekadar soal bertahan sehingga PRU16. Tetapi ia soal sama ada gabungan ini mampu terus mengemudi kerajaan atau hilang kebanyakan kerusi akibat tsunami biru ini.

Berdasarkan senario semasa, BN-PN akan mengemudi Malaysia menjelang PRU16 sekiranya PH tidak lakukan apa-apa. Tidak mustahil gabungan BN-PN muncul sebagai blok terbesar untuk membentuk kerajaan Persekutuan selepas PRU16. Perkembangan dua pilihan raya negeri terbaru memberikan isyarat yang jelas.

Senario ini sama sekali belum muktamad kerana landskap politik menjelang PRU16 masih sangat dinamik dan boleh berubah berdasarkan prestasi kerajaan dalam tempoh berbaki dan negosiasi antara ketua-ketua parti.

Justeru, BN-PN hari ini mungkin kelihatan sebagai blok yang paling berpotensi, tetapi kelebihan tersebut masih boleh berubah sekiranya PH melakukan pembaharuan politik yang meyakinkan, membina semula kepercayaan akar umbi dan mengurus hubungan dengan BN secara strategik tanpa mengabaikan keperluan memperluas sokongan merentasi kelompok pengundi.

Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gerakan Rakyat Sabah (GRS) juga memberi kesan kepada senario ini khususnya dalam pembentukan kerajaan kelak. Tanpa blok Sabah-Sarawak ini, mungkin PH pada hari ini tidak dapat mendapat menjadi kerajaan. Selepas PRU16 nanti, sudah tentu GPS dan GRS memainkan peranan signifikan dalam menentukan kepada siapa yang mereka akan sokong.

Dalam politik, semua boleh terjadi bergantung kepada tawaran dan ghanimah yang dijanjikan.

Oleh Luthfi Yusri

Pegawai Penyelidik di Nusantara Academy for Strategic Research (NASR)

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here