KUALA LUMPUR – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengesahkan tiada ancaman tsunami terhadap negara ini susulan gempa bumi kuat yang melanda pesisir timur Kamchatka, Rusia, 7.24 pagi waktu Malaysia.
Perkara itu dimaklumkan dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, media antarabangsa melaporkan satu gempa bumi kuat bermagnitud 8.8 melanda luar pesisir Semenanjung Kamchatka di timur jauh Rusia.
Gempa bumi berkenaan telah mencetuskan ombak tsunami setinggi 4 meter dan mencetuskan arahan pemindahan di seluruh wilayah Pasifik pada Rabu.
Gempa bumi cetek itu turut merosakkan beberapa bangunan dan mencederakan beberapa individu di kawasan terpencil Rusia.
Di Jepun, sebahagian besar penduduk di pesisir timur negara itu yang pernah dilanda gempa bumi dan tsunami magnitud 9.0 pada 2011 telah diarahkan untuk dipindahkan.
Di Hawaii, penduduk pesisir diminta berpindah ke kawasan tinggi atau ke tingkat empat ke atas bangunan, dan Pengawal Pantai Amerika Syarikat mengarahkan kapal-kapal meninggalkan pelabuhan apabila tsunami menghampiri.
Siren tsunami kedengaran di bandar-bandar pesisir di seluruh pantai Pasifik Jepun danarahan pemindahan telah dikeluarkan kepada puluhan ribu orang.
Pekerja di loji nuklear Fukushima yang pernah mengalami kebocoran radioaktif akibat tsunami 2011 turut dipindahkan, menurut operatornya, TEPCO.
Rakaman penyiar awam NHK menunjukkan puluhan orang di pulau utara Hokkaido berlindung di atas bumbung bangunan terpaksa memasang khemah untuk mengelak panas terik matahari, manakala bot-bot nelayan meninggalkan pelabuhan bagi mengelakkan kerosakan akibat ombak tsunami yang bakal melanda.
Syarikat pengeluar kereta Nissan Motor turut menggantung operasi di beberapa kilangnya di Jepun bagi memastikan keselamatan pekerja, menurut agensi berita Kyodo.
Tiga gelombang tsunami telah direkodkan di Jepun, dengan yang terbesar setinggi 60 sentimeter (24 inci), kata pihak berkuasa negara itu.
Ketua Setiausaha Kabinet Jepun, Yoshimasa Hayashi, memaklumkan tiada kecederaan atau kerosakan dilaporkan setakat ini, dan tiada sebarang kejanggalan berlaku di mana-mana loji nuklear.
Sistem Amaran Tsunami AS juga memberi amaran mengenai “gelombang tsunami berbahaya” yang sedang merebak ke seluruh Lautan Pasifik.
Gelombang melebihi 3 meter berkemungkinan melanda sebahagian pesisir Rusia, pulau-pulau utara Hawaii dan Ecuador, manakala gelombang setinggi 1 hingga 3 meter berpotensi berlaku di negara-negara seperti Jepun, Hawaii, Chile dan Kepulauan Solomon.
Gelombang yang lebih kecil dijangka melanda pesisir di banyak kawasan lain di seluruh Pasifik, termasuk Pantai Barat AS. -AGENSI
IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast
















