Sivamalar Genapathy.

KUALA LUMPUR – Tragedi kematian M Tishant, kanak-kanak berusia enam tahun yang dipercayai dicekik hingga mati sebelum ditanam oleh bapanya sendiri mesti diberi perhatian.

Masyarakat tidak memandang ringan isu penderaan kanak-kanak, kata Timbalan Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat merangkap Ahli Majlis Pimpinan Pusat, Sivamalar Genapathy.

Menurut beliau, kejadian menyayat hati itu bukan sekadar tragedi keluarga sebaliknya tamparan kepada hati nurani semua pihak agar segera mengutamakan keselamatan dan kesejahteraan kanak-kanak di negara ini.

“Hati saya benar-benar sakit dan hancur dengan kejadian melibatkan Tishant. Ia bukan sekadar tragedi keluarga ini adalah amaran keras untuk kita semua sesuatu buruk seperti ini akan berulang andai tiada tindakan proaktif.

“Kita sebagai masyarakat perlu melakukan introspeksi mendalam bukan hanya meletakkan beban kepada pihak berkuasa atau agensi kerajaan.

“Kita perlu melihat ke dalam, kepada diri kita, kepada komuniti kita, dan bagaimana kita bersama-sama mengambil tanggungjawab menjaga keselamatan dan kesejahteraan anak-anak,” katanya dalam kenyataan.

 

Beliau menegaskan peranan ibu dan bapa adalah perjalanan indah namun datang bersama tanggungjawab besar.

 Malangnya, kadangkala ia sering terjejas akibat konflik rumah tangga yang tidak diselesaikan sehingga memberi kesan buruk kepada kanak-kanak.

“Apabila kanak-kanak terdedah kepada keganasan, jeritan atau manipulasi emosi, ia meninggalkan parut mendalam yang terbawa hingga dewasa. Ini tidak boleh dibiarkan,” katanya.

Beliau menyeru agar pendidikan keibubapaan diperkasakan dan sokongan lebih meluas diberikan kepada ibu bapa muda, khususnya mereka yang berdepan tekanan hidup.

“Tekanan ekonomi adalah antara punca utama ketegangan rumah tangga. Literasi kewangan perlu dianggap sebagai kemahiran hidup, bukan sekadar subjek akademik. Keluarga muda mesti diperkasa untuk mengurus hutang, belanjawan dan mendapatkan bantuan sebelum krisis berlaku,” ujarnya.

Mengulas mengenai cabaran dalam komuniti India khususnya, Sivamalar berkata, pemikiran patriarki yang mengangkat anak lelaki dengan hak istimewa perlu dihentikan kerana ia melahirkan sikap keterpisahan emosi dan menghalang perkembangan nilai empati.

“Kecerdasan emosi, empati dan akauntabiliti mesti dipupuk dalam diri anak lelaki sama seperti anak perempuan. Kita mesti bergerak seiring dengan dunia yang menuju kesamarataan gender,” katanya.

Beliau turut menekankan kepentingan menormalisasi kaunseling keluarga dan sokongan psikologi sambil menghapuskan stigma bahawa mendapatkan bantuan adalah tanda kegagalan.

“Kaunseling bukan kelemahan, ia keberanian. Sama seperti kita pergi ke doktor apabila sakit fizikal, tiada salahnya berjumpa kaunselor apabila terbeban secara emosi. Kita mesti mendidik anak-anak bahawa mendapatkan bantuan bukan kelemahan tetapi kebijaksanaan,” katanya.

Sivamalar turut mengimbau peranan kehidupan berkomuniti yang semakin hilang dalam keluarga moden.

“Dulu kita tinggal bersama nenek, datuk dan ahli keluarga lain. Sistem ini secara organik menjadi pengimbang. Kanak-kanak yang membesar bersama datuk nenek sering rasa lebih selamat.

“Kita perlu bertanya, adakah hilangnya cara hidup ini menyumbang kepada keterasingan dan disfungsi dalam keluarga moden?

“Setiap kanak-kanak berhak merasa selamat, disayangi dan dilindungi, bukan sahaja di rumah tetapi di hati setiap orang dewasa di sekeliling mereka. Kematian Tishant mesti menjadi titik kebangkitan jangan biarkan ia sekadar satu lagi berita yang kita tangisi dan lupakan,” tegasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast