KUALA LUMPUR – Kes kematian pelajar Tingkatan Satu, Allahyarham Zara Qairina Mahathir di Sabah menjadi antara isu yang dibangkitkan oleh ahli-ahli Parlimen di Dewan Rakyat hari ini.
Bermula dengan Datuk Saifuddin Abdullah (PN-Indera Mahkota) yang membangkitkan lapan persoalan berkaitan kejadian yang dilaporkan berlaku di asrama sekolah di Papar itu pada 16 Julai lalu.
Beliau juga bertanya dakwaan yang pengetua sekolah berkenaan mempunyai pertalian keluarga dengan seorang kenamaan atau VVIP.
“Adakah perkara ini benar dan jika ya, sejauh manakah ia memberi kesan terhadap proses siasatan dan ketelusan pengurusan kes ini?
“Juga untuk menamatkan khabar angin yang tersebar berkaitan kes ini, yang juga membuka kembali cerita-cerita lama tentang sesetengah kes kematian yang terdahulu,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Akta Pendidikan (Pindaan) 2025 di Dewan Rakyat hari ini.
Sementara itu, Datuk Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) juga bangun mencelah dan berkata, sekolah pelajar itu dikaitkan dengan orang kenamaan didakwa seorang ahli Parlimen.
“Saya dapat maklumat juga yang mengatakan pengetua sekolah itu mempunyai kaitan dengan VVIP yang ada di dalam dewan ini,” katanya.
Zara Qairina ditemui kira-kira 3 pagi, 16 Julai lalu dalam keadaan parah di bawah bangunan asrama sebelum dikejarkan ke Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) untuk rawatan lanjut.
Mangsa disahkan meninggal dunia pukul 1 tengah hari, keesokan harinya.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, siasatan berhubung kejadian itu sedang dijalankan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Sabah.
Kejadian itu tular di media sosial dan mengundang pelbagai reaksi selepas ia dikaitkan dengan kejadian buli yang didakwa berlaku di sekolah berkenaan.
Kementerian Pendidikan (KPM) mengulangi jaminan siasatan kes kematian pelajar Tingkatan Satu itu sedang dijalankan secara telus dan adil.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, justeru meminta semua pihak memberi ruang kepada polis untuk menjalankan siasatan terperinci berhubung kes itu. – MalaysiaGazette
















