KUANTAN – Seorang jurutera di daerah Jerantut terpaksa berputih mata apabila mengalami kerugian sebanyak RM230,000 akibat terpedaya dengan pelaburan atas talian tidak wujud.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, mangsa yang merupakan warga emas berusia 67 tahun pada mulanya menerima pesanan ringkas menerusi aplikasi WhatsApp pada 14 Julai lepas.
“Suspek telah menawarkan peluang pelaburan dalam Bursa Saham menerusi syarikat dikenali sebagai ‘Elite Group’.
“Mangsa kemudian ditawarkan skim pelaburan yang menjanjikan pulangan sebanyak RM150,000.00 sekiranya melabur sebanyak RM50,000.00 dalam tempoh singkat,” katanya dalam kenyataan.
Tertarik dengan tawaran tersebut, beliau berkata, mangsa bersetuju dan mula membuat sembilan kali transaksi pembayaran ke empay akaun bank berbeza dari 16 hingga 31 Julai yang melibatkan jumlah keseluruhan sebanyak RM230,000.00.
Yahaya berkata, selepas pembayaran dibuat, mangsa terus diminta untuk membuat bayaran tambahan atas alasan kononnya terdapat masalah semasa pemprosesan pelaburan.
“Mangsa yang menggunakan wang simpanan bagi tujuan pelaburan ini, akhirnya menyedari dirinya telah ditipu dan membuat laporan polis,” katanya.
Justeru, beliau berkata, Polis Kontinjen Pahang menasihati orang ramai agar berwaspada dengan pelaburan dalam talian yang menjanjikan pulangan tinggi dalam masa singkat, khususnya yang dipromosikan melalui media sosial.
Semakan awal juga boleh dibuat di portal rasmi https://semakmule.rmp.gov.my bagi mengenal pasti akaun bank yang mempunyai rekod penipuan. – MalaysiaGazette
















