Gambar hiasan. Foto SADIQ SANI, 09 MEI 2025

KUALA LUMPUR – Pelaksanaan inisiatif pemaparan harga ubat di kemudahan jagaan kesihatan swasta dan farmasi komuniti yang bermula pada 1 Mei lalu akan diteruskan.

Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dalam satu kenyataan memaklumkan, pendekatan penguatkuasaan pendidikan inisiatif itu telah dilaksanakan bagi tempoh tiga bulan pertama tahun ini yang berakhir 31 Julai lalu.

Sepanjang tempoh itu, katanya, sebanyak 842 buah fasiliti terdiri daripada klinik perubatan, klinik pergigian dan hospital swasta serta farmasi komuniti telah diperiksa dan majoritinya telah melaksanakan inisiatif tersebut.

Jelasnya, daripada jumlah itu, sebanyak 57 peratus mematuhi keperluan pemaparan harga ubat yang memuaskan.

Sehubungan itu, tambahnya, bermula 1 Ogos lalu, penguatkuasaan perintah tersebut akan diteruskan secara berperingkat.

“Penguatkuasaan pendidikan diteruskan melalui lawatan pemeriksaan dan advokasi bagi tempoh 2 bulan sehingga 30 September 2025.

“Surat peringatan boleh dikeluarkan jika berlaku ketidakpatuhan.

“Mulai 1 Oktober 2025, kompaun boleh dikeluarkan bagi kesalahan yang berulang, dengan penguatkuasaan penuh mulai 1 Januari 2026,” katanya.

Sementara itu, tambah kenyataan tersebut, KKM dan KPDN mengambil maklum mengenai laporan berhubung tindakan semakan kehakiman yang difailkan di Mahkamah Tinggi oleh tujuh pertubuhan mewakili pengamal perubatan dan pergigian serta seorang pengamal perubatan swasta, berkaitan keabsahan perintah tersebut.

Namun, jelasnya, sehingga kini, tiada perintah mahkamah yang mengarahkan penangguhan pelaksanaan atau penguatkuasaan itu, justeru ia kekal sah dan berkuat kuasa.

“KKM dan KPDN kekal komited untuk melaksanakan inisiatif ini secara inklusif, berfasa dan berhemah bagi memastikan manfaatnya dapat dinikmati oleh pengguna serta menyumbang kepada peningkatan ketelusan, akauntabiliti dan kepercayaan dalam sistem kesihatan negara,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast