Bekas Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz bercakap pada sidang media Laporan Prestasi Suku Kedua 2025 di Menara MITI, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 15 JULAI 2025

KUALA LUMPUR – Dakwaan bahawa Malaysia akan serta-merta mengiktiraf sijil halal Amerika Syarikat (AS) sebagai antara syarat rundingan penurunan tarif timbal balik adalah tidak berasas, bersifat mengelirukan dan berniat jahat.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, dakwaan itu juga tidak mencerminkan fakta sebenar yang telah dipersetujui dalam rundingan tersebut.

Jelas beliau, antara perkara utama yang dipersetujui dengan AS adalah membenarkan pengimportan daging dan produk daging serta unggas dan produk unggas ke Malaysia yang mendapat Sijil Halal dari badan pensijilan halal AS yang mematuhi piawaian dan standard halal yang ditetapkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Tegasnya, kerajaan tidak berkompromi dan terus mengekalkan standard halal yang mematuhi syariah bagi memelihara kepentingan pengguna dalam kalangan umat Islam di negara ini.

“Fasilitasi yang ditawarkan di sini hanya berkaitan pemantauan dan verifikasi yang akan dilaksanakan oleh Badan Pensijilan Halal Amerika Syarikat yang diiktiraf oleh Jakim,” katanya pada sesi pengumuman mengenai kadar baharu tarif timbal balas ke atas Malaysia di Dewan Rakyat, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, Malaysia mendapat pengurangan kadar tarif perdagangan pada 19 peratus berbanding 25 peratus sebelum ini, berkuat kuasa 7 Ogos ini.

Perkara itu disahkan selepas Presiden AS, Donald Trump menandatangani satu perintah eksekutif bagi mengubah kadar tarif timbal balik ke atas beberapa negara.

Terdahulu, Tengku Zafrul menjelaskan, rundingan antara Malaysia dan AS berhubung tarif timbal balik itu melibatkan enam seksyen utama iaitu tarif dan kuota, halangan bukan tarif, perdagangan digital dan teknologi, peraturan tempasal, keselamatan ekonomi dan negara dan pertimbangan komersial.

Tegas beliau, setiap tawaran yang telah dibuat kepada AS menerusi rundingan tersebut telah diberi pertimbangan dan dipersetujui oleh Jemaah Menteri.

“Apa yang telah dimuktamadkan adalah persetujuan secara prinsip, di mana komitmen yang telah dibuat sepanjang rundingan akan diterjemahkan secara terperinci dalam bentuk satu dokumen perjanjian iaitu Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (Agreement on Reciprocal Trade – ART) yang akan ditandatangani oleh kedua-dua belah pihak kelak,” katanya.

Sementara itu, Tengku Zafrul berkata, menerusi rundingan tersebut, Malaysia bersetuju untuk tidak mengenakan sebarang sekatan eksport ke atas bekalan unsur nadir bumi/mineral kritikal kepada AS.

Jelas beliau, komitmen itu dibuat memandangkan negara pada masa ini sememangnya tidak mengenakan sekatan eksport unsur nadir bumi/mineral kritikal kepada mana-mana negara.

“Komitmen ini juga tidak bermaksud bahawa Malaysia memberikan hak eksklusif kepada AS bagi bekalan unsur nadir bumi/mineral kritikal yang dikeluarkan oleh Malaysia,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast