KUALA LUMPUR – Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi menafikan surat tular bertarikh 28 Julai 2025 berkaitan pembayaran gratuiti kepada seorang individu dikeluarkan kementeriannya ditandatangani oleh beliau.
Tegasnya, surat berkenaan adalah palsu dan tidak pernah dikeluarkan oleh Kementerian Kerja Raya atau pun pihaknya sebagai Menteri Kerja Raya.
“Kementerian tidak pernah mengeluarkan sebarang jemputan rasmi bagi majlis penyerahan bayaran gratuiti sedemikian.
“Sehubungan itu, saya menasihatkan orang ramai agar tidak terpedaya dengan dokumen seumpama ini yang jelas mempunyai unsur penipuan dan penyamaran,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah beliau, Kementerian telah mengambil maklum perkara ini dan sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan lanjut.
Sekiranya terdapat sebarang keraguan mengenai ketulenan dokumen atau komunikasi yang didakwa dikeluarkan oleh KKR, orang ramai dinasihatkan untuk menghubungi terus saluran rasmi Kementerian melalui laman web www.kkr.gov.my atau talian rasmi KKR. – MalaysiaGazette
















