Pegawai polis yang berkhidmat di sebuah IPD di Pahang direman kerana disyaki minta rasuah daripada warga asing.

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pahang menahan reman seorang pegawai polis kerana disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM3,500 daripada seorang lelaki warga asing sebagai balasan untuk mempercepatkan proses siasatan melibatkan satu kes pergaduhan.

Perintah reman selama lima hari sehingga 9 Ogos 2025 terhadap suspek dikeluarkan Majistret Ellyna Othman selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Sesyen Kuantan pagi tadi.

Menurut sumber, suspek lelaki berusia lingkungan 40-an yang berkhidmat di ibu pejabat polis daerah di Pahang telah ditahan di tempat kerjanya sekitar jam 5 petang semalam.

“Siasatan awal mendapati, suspek telah meminta wang kira-kira RM1,000 daripada seorang lelaki warga asing yang bergaduh dengan abang iparnya sebelum membuat satu laporan polis pada awal Julai lalu.

“Wang rasuah berkenaan sebagai dorongan untuk menangkap abang ipar lelaki terbabit yang kini berada dalam tahanan polis dan bagi mempercepat proses siasatan untuk diserahkan kepada pihak imigresen bagi tujuan pengusiran balik ke negara asal,” katanya.

Menurut sumber, setelah menerima wang kira-kira RM1,000, suspek kemudian meminta lagi wang kira-kira RM3,000 daripada pengadu sebelum bersetuju menerima wang tunai kira-kira RM2,500 bagi mempercepat proses siasatan berkenaan.

Sementara itu, Pengarah SPRM Pahang, Mohd Shukor Mahmud ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast