Ibu kepada Allayarham Zayn Rayyan Matin, Ismanira Abdul Manaf (kanan) ketika hadir ke mahkamah bagi sambungan membela diri atas pertuduhan mengabaikannya anaknya di Mahkamah Petaling Jaya, Selangor. Foto HARI ANGGARA, 23 JULAI 2025.(GAMBAR FAIL)

KUALA LUMPUR – Kata-kata kasar dan luahan tekanan emosi dalam mesej WhatsApp antara Ismanira Abdul Manaf dan suaminya tidak seharusnya disalah tafsir sebagai petunjuk kepada niat jenayah.

Sebaliknya ia mencerminkan situasi tertekan yang biasa dialami seorang ibu yang menjaga anak-anak autistik.

Itu pandangan itu dikemukakan oleh saksi pembelaan kelima, Dr Noor Aishah Rosli yang merupakan pakar psikologi kanak-kanak dalam prosiding kes pengabaian melibatkan Ismanira yang berlangsung di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Menurut Noor Aishah, mesej-mesej yang dilampirkan dalam kes itu adalah manifestasi tekanan emosi yang lumrah dalam situasi krisis terutamanya selepas kehilangan Zayn Rayyan pada 5 Disember 2023.

“Sebagai ibu yang menjaga dua anak autistik, tekanan itu sangat berat. Daripada teks mesej yang diberikan, saya tidak melihat sebarang unsur niat untuk mencederakan atau mengabaikan.

“Ia lebih kepada luahan dan rayuan emosi kepada pasangan,” katanya ketika soal jawab bersama peguam bela, Haresh Mahadevan.

Antara mesej yang dirujuk termasuk: ‘Haish, stress nak mati’ dan ‘budak ni elok je tak ada pun aku pukul, tapi aku cakap belasah sebab geram dan marah sangat-sangat’ juga satu lagi mesej berbunyi ‘macam nak bunuh diri je sekarang’.

Noor Aishah menjelaskan ia adalah bentuk ekspresi emosi yang tidak luar biasa dalam kalangan individu berdepan tekanan mendadak dan tidak boleh diambil sebagai ancaman sebenar.

“Kalau kita lihat konteks keseluruhan mesej, Ismanira sebenarnya ibu yang sayang pada anak-anaknya. Mesej sebegini biasa kita lihat dalam kalangan pasangan yang sedang cuba meluahkan perasaan tertekan kepada pasangan mereka agar lebih difahami,” tambahnya.

Prosiding akan bersambung di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Dr Syahliza Warnoh pada 8 September depan untuk hujahan bertulis 22 September bagi hujahan balas dan keputusan pada 31 Oktober 2025.

Ismanira kini membela diri atas pertuduhan mengabaikan anaknya bersama suami, Zaim Ikhwan Zahari, 30, mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun atau denda sehingga RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, mahkamah baru-baru ini memutuskan untuk melepas dan membebaskan Zaim Ikhwan daripada pertuduhan tersebut selepas mendapati tiada kes prima facie terhadapnya.

Kesalahan itu didakwa berlaku di sekitar Blok R, Apartment Idaman sehingga ke kawasan sungai berhampiran lokasi tersebut antara jam 12 tengah hari, 5 Disember hingga 9.55 malam, 6 Disember 2023.

Pasukan pendakwaan diketuai oleh TPR Raja Zaizul Faridah bersama Aqharie Durranie Aziz dan Nur Sabrina Zubairi, manakala Ismanira diwakili peguam bela Haresh Mahadevan, Ramzani Idris dan Lavanesh Haresh. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast