KUALA LUMPUR – Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) menyifatkan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Akmal Saleh sebagai tidak konsisten dan bersikap hipokrit dalam isu bendera terbalik yang berlaku baru-baru ini di Port Dickson.
Penolong Setiausaha DAPSY Kebangsaan, Edmund Lim berkata, rakyat tidak memerlukan pemimpin yang hanya gemar menangguk di air keruh, sebaliknya perlukan suara yang tenang, matang dan menyatukan rakyat.
“Kita sudah lama nampak perangai Akmal Saleh, beliau sentiasa mencari ruang untuk memanaskan isu kecil semata-mata mahu menimbulkan kebencian, sedangkan rakyat perlukan pemimpin yang matang, mampu menenangkan keadaan dan menyatukan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Akmal hari ini lantang mengkritik insiden berkenaan dan menuntut tindakan tegas diambil terhadap pihak sekolah kerana didakwa cuai serta tidak memantau pemasangan bendera dengan betul.
Beliau turut mempersoalkan mengapa tugas memasang bendera diberikan kepada seorang pekerja orang kurang upaya (OKU), sekali gus mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan netizen serta masyarakat umum.
Menurut Lim, tindakan Akmal yang lantang bersuara dalam isu bendera terbalik, namun berdiam diri apabila kesilapan sama dilakukan oleh pihak yang dekat dengan partinya menunjukkan sikap double standard.
“Dalam isu bendera terbalik ini, beliau cepat menuding jari, menjerit ke sana sini kononnya demi maruah negara. Tetapi bila kesilapan sama berlaku melibatkan pemimpin Pas, beliau tenang dan sopan. Inilah bukti hipokrasi dan double standard yang jelas.
“Bukannya mencari penyelesaian, beliau memilih untuk menambahkan api,” katanya.
Lim berkata, Kerajaan Perpaduan kini sedang memberi tumpuan kepada usaha memulihkan ekonomi dan membela kebajikan rakyat, namun masih ada pihak yang lebih selesa memainkan isu remeh untuk kepentingan politik sempit.
“Sedangkan tujuan utama Kerajaan Perpaduan ialah mengangkat agenda rakyat, membina ekonomi, menyediakan peluang pekerjaan dan menjaga kebajikan semua bangsa tanpa mengira latar belakang,” katanya.
Beliau juga menggesa Akmal agar menunjukkan kepimpinan berhemah dalam mempertahankan Jalur Gemilang, bukan sekadar berpolitik untuk mencuri perhatian media.
“Jika benar Akmal peduli pada Jalur Gemilang dan negara, beliau sepatutnya menunjukkan kepimpinan berhemah dan tegur dengan ikhlas, cadang penyelesaian dan konsisten dalam mempertahankan maruah bendera. Tetapi malangnya, apa yang beliau buat hanyalah politik murahan untuk mencari publisiti,” tambahnya.
Katanya lagi, rakyat kini tidak mudah terpedaya dan mampu menilai siapa pemimpin yang benar-benar bekerja demi kepentingan negara.
“Kita yakin rakyat sudah matang menilai. Mereka tahu siapa yang benar-benar bekerja untuk rakyat dan siapa yang hanya pandai mencetuskan isu demi kepentingan politik sempit,” ujar Edmund.
Insiden bendera terbalik berlaku di sebuah sekolah menengah di Port Dickson, Negeri Sembilan, pada penghujung Julai lalu.
Kejadian itu mencetuskan kemarahan pelbagai pihak selepas gambar Jalur Gemilang dikibarkan secara terbalik tular di media sosial.
Pihak sekolah kemudiannya tampil memohon maaf dan menjelaskan kesilapan itu tidak disengajakan.
Sementara itu, pihak polis turut mengesahkan telah membuka kertas siasatan berhubung kejadian tersebut mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan hinaan yang boleh mencetuskan gangguan awam. – MalaysiaGazette
















