Gambar ihsan PDRM.

KUALA LUMPUR – Seorang ketua penjenayah yang memiliki 44 rekod jenayah lampau ditembak mati dalam kejadian berbalas tembakan di Jalan Bukit Tunku di sini awal pagi tadi.

Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Fadil Marsus berkata, lelaki berusia 36 tahun dipercayai dalang utama geng samun dan pecah rumah dalam Ops Api KL 3 2025.

Semakan mendapati suspek turut memilik rekod berkaitan kes dadah dan turut terbabit dalam kegiatan jenayah pecah rumah serta samun sejak tahun lepas di Kuala Lumpur, Selangor dan Perak melibatkan kerugian lebih RM1 juta.

“Suspek adalah lelaki warga tempatan dipercayai aktif dalam kegiatan samun dan aktiviti pengedaran dadah. Suspek mengetuai kumpulan yang dianggarkan seramai belasan orang dan aktif melakukan jenayah samun, kekerasan dan pecah rumah sejak tahun lalu,” katanya.

Pemeriksaan di dalam kereta suspek, polis menemui sepucuk revolver, peralatan pecah rumah dan sejumlah dadah.

Semakan juga mendapati nombor pendaftaran kereta suspek tiada dalam rekod pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan dipercayai diseludup dari luar negara.

Mayat suspek dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast