Tun Faisal Ismail Aziz.

KUALA LUMPUR – Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu dilihat sebagai mangsa dan bukannya saksi dalam isu penyebaran berita palsu.

Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berkata, individu yang sepatutnya disiasat dalam kontroversi itu adalah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Muhyiddin bukan saksi tapi mangsa. Anwar Ibrahim adalah orang yang disyaki/suspek penyampai dan penyebar berita palsu/penipuan,” katanya dalam hantaran di laman Facebook, hari ini.

Sebelum ini Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menghubungi Muhyiddin yang merupakan Ahli Parlimen Pagoh untuk memberi keterangan sebagai saksi bagi membantu siasatan melibatkan kandungan akaun TikTok yang mengaitkan beliau dengan dakwaan berhubung subsidi bersasar RON95.

MCMC dalam kenyataannya semalam menyatakan fokus siasatan adalah bagi mengesahkan konteks kandungan yang disiarkan dan tidak melibatkan sebarang dakwaan atau pertuduhan terhadap bekas Perdana Menteri itu.

Siasatan dilakukan berikutan arahan Anwar Ibrahim pada Selasa lalu agar suruhanjaya itu menyiasat penafian Muhyiddin berhubung dakwaan mempertahankan warga asing dalam isu penyasaran subsidi RON95.

Perdana Menteri memberitahu Dewan Rakyat bahawa beliau membaca laporan yang mendakwa Muhyiddin telah mempertahankan hak warga asing untuk mendapat manfaat daripada program rasionalisasi subsidi.

Sementara itu, Tun Faizal mempersoalkan garis tanggungjawab dan proses undang-undang dalam mengendalikan dakwaan penyebaran maklumat yang boleh mencetuskan keresahan politik.

Berikutan itu, beliau mengesyorkan supaya agensi penyiasatan seperti Suruhajaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan menyeluruh terhadap dakwaan tersebut dan memastikan tiada pihak dikecualikan atau dijadikan kambing hitam.

Isu tersebut menjadi tumpuan selepas laporan-laporan tertentu mendakwa wujud persembahan salah fakta atau dokumen mengenai prestasi ekonomi kerajaan daripada mulut pimpinan tertinggi negara.

“Selain penyampai berita palsu, Anwar juga adalah saksi yang bertanggungjawab untuk memberi maklumat kepada SKMM mengenai sumber manakah yang mengeluarkan berita palsu tersebut. Itukan sumber ‘homework’ dia?” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast