Asyraf Wajdi Dusuki

KUALA LUMPUR – Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mendedahkan ada ibu bapa yang anak mereka dibuang dari Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) kerana kes buli mahu mengambil tindakan undang-undang terhadapnya dan agensi itu.

Beliau berkata, tindakan itu kerana keputusan tegasnya menyingkirkan pelajar yang terbabit dalam salah laku disiplin serius, khususnya membabitkan perbuatan buli.

“Saya dimaklumkan ada ibu bapa yang anak-anaknya dibuang MRSM kerana kes buli nak saman saya dan MARA. Saya katakan ‘Bring it on!’” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut Asyraf, beliau tidak akan berkompromi dalam isu keselamatan pelajar kerana menjadi tanggungjawab MARA memastikan majoriti pelajar dapat belajar dalam suasana yang selamat dan kondusif.

“Saya nak jaga keselamatan majoriti pelajar, bukan segelintir yang berlagak samseng,” tegasnya sambil menambah MARA akan terus bertindak tegas terhadap mana-mana pelajar yang terbabit dalam perbuatan buli.

Katanya, budaya samseng tidak mempunyai tempat di MRSM dan pelaku perlu menerima akibat perbuatan mereka tanpa mengira latar belakang.

Beliau turut mengulangi mesej amaran, “#YouTouchYouGo”, sebagai tanda komitmen MARA untuk mengambil tindakan pantas terhadap pelaku buli demi melindungi pelajar lain.

Penghujung Julai lalu, seramai enam pelajar Tingkatan Lima di sebuah MRSM di Melaka digantung dan dicadangkan dibuang selepas didakwa terlibat dalam kejadian buli.

Pada April lalu, Jawatankuasa Disiplin MRSM turut mengesyorkan tujuh pelajar MRSM di Nibong Tebal, Pulau Pinang yang terlibat kes buli ditamatkan pengajian. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast