PETALING JAYA: Seorang pelancong warganegara Britain mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mencabul seorang lelaki di sebuah hotel, minggu lalu.
Adekoya Oluwatoyosi Osideinde, 30, meminta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Shahril Anuar Ahmad Mustapa.
Mengikut pertuduhan, Adekoya didakwa mencabul kehormatan lelaki warga Indonesia berusia 47 tahun di sebuah bilik hotel di Seksyen 52, di sini pada pukul 8.34 pagi 2 Ogos lalu mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman berkenaan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Lim Leong Hui manakala tertuduh diwakili peguam R. Sivaraj. Pendakwaan tidak mencadangkan jaminan dikenakan terhadapnya.
Bagaimanapun, Sivaraj memohon mahkamah membenarkan ikat jamin terhadap anak guamnya yang bekerja sebagai perunding kewangan sambilan.
Sivaraj memaklumkan tertuduh sedang dibicarakan berkaitan kesalahan dadah di Mahkamah Sesyen di sini.
Bagi kesalahan dadah yang didakwa mengikut mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Sivaraj memaklumkan anak guamnya dibenarkan ikat jamin RM5,000 dengan dua penjamin warga tempatan.
Selain itu, peguam turut memaklumkan visa pelancong tertuduh masih sah dan akan tamat tempoh pada bulan depan.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan dua penjamin warga tempatan dan menetapkan 2 Oktober ini sebagai tarikh sebutan kes. – MalaysiaGazette
















