Seorang remaja antara dua pengunjung yang berjaya diselamatkan pasukan Bomba selepas mengalami kecederaan ketika mandi-manda di kawasan air terjun Taman Eko Rimba, Rawang, hari ini.

RAWANG – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menyelamatkan dua lelaki yang mengalami pelbagai kecederaan ketika melakukan aktiviti air di kawasan air terjun di Taman Eko Rimba, Jalan Kanching, di sini, hari ini.

Penolong Pengarah Operasi JBPM Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, pihaknya menerima panggilan jam 12.25 tengah hari dan kemudian menggerakkan 16 anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rawang ke lokasi kejadian.

“Pasukan Bomba menemui mangsa pertama berusia 19 tahun di tingkat empat kira-kira jam 1.30 tengah hari, manakala mangsa kedua berusia 30-an di tingkat tujuh, air terjun tersebut, jam 2 petang.

“Kedua-dua mangsa yang ditemui pasukan Bomba tidak mengenali antara satu sama lain dan mereka berjaya dibawa turun dari kawasan air terjun kira-kira 20 minit,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Seorang lelaki berusia 30-an berjaya diselamatkan pasukan Bomba selepas mengalami pendarahan di bahagian kepala dan kecederaan di kaki ketika mandi-manda di kawasan air terjun Taman Eko Rimba, Rawang, hari ini.

Ahmad Mukhlis juga berkata, mangsa pertama mengalami kecederaan di bahagian bahu dan tulang rusuk sebelah kiri, manakala seorang lagi cedera di kaki dan mengalami pendarahan di kepala.

“Kedua-dua mangsa telah berjaya dibawa turun ke bawah dan akan diserahkan kepada pihak Hospital Selayang,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast