Sultan Ibrahim akhiri lawatan negara ke Rusia FB Sultan Ibrahim Sultan Iskandar

KUALA LUMPUR – Lawatan Negara Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim ke Rusia mencatatkan kejayaan strategik dalam mengukuhkan hubungan dua hala.

Facebook rasmi baginda, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar memaklumkan baginda berangkat pulang hari ini.

Terdahulu, baginda diiringi Rustam Minnikhanov, Rais (Presiden) Republik Tatarstan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kazan.

Menurut hantaran itu, Sultan Ibrahim yang berangkat tiba di Moscow 5 Ogos lalu atas jemputan Presiden Vladimir V Putin melakar sejarah sebagai Ketua Negara Malaysia pertama mengadakan Lawatan Negara ke Rusia sejak tertubuhnya hubungan diplomatik pada tahun 1967.

“Pada pertemuan rasmi bersama Seri Paduka Baginda di Kremlin, Putin menyifatkan hubungan antara Moscow dan Kuala Lumpur berada pada tahap yang baik dengan komunikasi berterusan antara pelbagai agensi kerajaan.

“Malah, beliau turut memuji peranan Malaysia dalam Kumpulan Pembangunan Strategik Rusia-Dunia Islam yang disifatkan sebagai kerjasama berkesan dan platform persefahaman bersama antara Rusia dan negara-negara Islam,” katanya.

Sultan Ibrahim turut berangkat ke Kazan bersempena Lawatan Negara ke Persekutuan Rusia, dengan menekankan potensi kerjasama antara Malaysia dan Republik Tatarstan dalam bidang petrokimia, inovasi, kewangan Islam dan sektor Halal. -MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast