Ahli Parlimen Gopeng, Tan Kar Hing. Foto ABDULLAH YUSOF, 09 MEI 2025.
Ahli Parlimen Gopeng, Tan Kar Hing. Foto ABDULLAH YUSOF, 09 MEI 2025.

KUALA LUMPUR – Semua pihak diminta supaya bertenang dan menyerahkan isu pemasangan Jalur Gemilang kepada pihak berkuasa untuk diuruskan mengikut undang-undang dan prosedur yang betul.

Ahli Parlimen Gopeng, Tan Kar Hing berkata, perkara itu tidak seharusnya dijadikan kontroversi atau perbalahan yang tidak perlu kerana ia hanya akan menjejaskan matlamat sebenar dalam mempertahankan maruah bendera negara.

“Saya menyeru semua pihak supaya bertenang dan menyerahkan proses pengendalian isu pemasangan Jalur Gemilang kepada pihak berkuasa berdasarkan undang-undang ikut prosedur, dan tidak menjadikan ia sebagai kontroversi atau perbalahan yang tidak perlu,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Kar Hing menegaskan, pentingnya mempertahankan kedaulatan negara dan lambang identiti negara, Jalur Gemilang, namun ia perlu dilakukan secara bijak tanpa keterlibatan ahli politik yang berlebihan dan beremosi.

“Penting untuk kita mempertahankan kedaulatan negara dan lambang identiti negara Jalur Gemilang, tiada kompromi atas ketegasan prinsip ini.

“Namun, keterlibatan ahli politik yang keterlaluan dan beremosi dalam perkara ini langsung tidak membantu bagi tujuan kesedaran dan pendidikan dalam soal yang berbangkit,” ujarnya.

Kar Hing merujuk kepada isu pemasangan Jalur Gemilang secara terbalik kembali mencuri perhatian menjelang sambutan Hari Kebangsaan apabila sebuah premis perniagaan di Pulau Pinang didapati mengibarkan bendera negara dalam keadaan songsang.

Perbuatan itu mencetuskan kecaman di media sosial, dengan netizen menyifatkannya sebagai tindakan tidak menghormati simbol kedaulatan negara.

Sebelum ini, kejadian sama di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hua Port Dickson sehingga menimbulkan polimek di antara dua sayap parti muda kerajaan iaitu DAPSY dan Pemuda UMNO.

Dalam pada itu, Kar Hing berkata, sekiranya kesilapan itu berpunca daripada kecuaian, semua pihak perlu memberi fokus kepada pendidikan dan kempen kesedaran berlandaskan akta serta garis panduan pemakaian Jalur Gemilang.

“Jika kesilapan ini dilakukan atas kecuaian, tanggungjawab kita adalah untuk mendidik dan menyampaikan kempen kesedaran secara efektif berdasarkan kepada akta dan garis panduan pemakaian Jalur Gemilang, kecuali mereka yang benar-benar berniat untuk menghina dan berniat jahat,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast