KUALA LUMPUR – Polis berjaya menumpaskan cubaan menyeludup rokok tidak bercukai bernilai lebih RM13.4 juta dalam satu operasi khas di Plaza Tol MEX Putrajaya, Cyberjaya pada 3 Ogos lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 petang itu, sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Perisikan Siasatan Khas, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA), Bukit Aman dengan kerjasama Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang telah menahan sebuah lori bonded.
Katanya, pemeriksaan ke atas dua lelaki tempatan yang merupakan pemandu dan kelindan serta lori telah membawa kepada penemuan sejumlah besar rokok pelbagai jenama yang disyaki tidak bercukai.
“Rampasan membabitkan 566 master case rokok tidak sah pelbagai jenama dengan nilai anggaran mencecah RM13,451,060.00.
“Antara barang rampasan lain yang turut dirampas termasuk sebuah lori jenis Hino 16000kg, satu anak kunci lori, dua telefon bimbit dam empat helai kertas pesanan penghantaran.
“Siasatan juga mendapati kedua-dua suspek mempunyai rekod lampau membabitkan kesalahan jenayah dan penyalahgunaan dadah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang daripada 10 kali ganda amaun duti kastam atau RM100,000 (mana-mana yang lebih besar) dan tidak melebihi 20 kali nilai barang atau RM500,000 (mana-mana yang lebih besar) atau penjara antara enam bulan hingga lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Pada 7 Ogos lalu, kedua-dua suspek telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Sepang untuk pertuduhan di bawah seksyen sama.
Shazeli turut menasihatkan orang ramai supaya tidak terlibat dalam sebarang aktiviti penyeludupan atau penjualan rokok tidak sah kerana tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang melanggar undang-undang.
“Tangkapan dan rampasan ini mencerminkan komitmen berterusan PDRM, khususnya menerusi JKDNKA dalam membanteras jenayah penyeludupan barangan tidak bercukai serta jenayah hidupan liar yang boleh menjejaskan hasil negara dan ketenteraman awam,” katanya.
Beliau menyeru orang awam untuk terus bekerjasama dengan polis dalam menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan demi keselamatan dan kesejahteraan bersama. – MalaysiaGazette
















