KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Sembilan telah mendapat lanjutan menahan reman seorang broker tanah di negeri itu kerana disyaki telah menggunakan suatu dokumen iaitu geran yang disyaki mengandungi butir matan palsu bagi mendapatkan wang hasil jualan tanah yang berjumlah kira-kira RM3.8 juta.
Majistret Nurul Saqinah Rosli membenarkan suspek lelaki berusia lingkungan 40-an itu direman selama tiga hari bermula 12 hingga 14 Ogos 2025 selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Jenayah 1, Seremban, Negeri Sembilan pagi tadi.
Menurut sumber, suspek sebelum ini telah pun ditahan reman sejak 5 Ogos lalu.
“Siasatan awal mendapati suspek disyaki telah menggunakan suatu dokumen mengandungi butir matan palsu iaitu geran di Mukim Lenggeng daerah Seremban atas nama seorang individu lain bagi mendapatkan wang hasil jualan tanah tersebut yang dianggarkan berjumlah kira-kira RM3.8 juta,” katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Negeri Sembilan, Awgkok Ahmad Taufik Putra Awg Ismail ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat dibawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009 Akta SPRM 2009. – MalaysiaGazette
















