KUALA LUMPUR – Naib Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM), Profesor Datuk Ts. Dr. Shahrin Sahib @ Sahibuddin, FASc, mencipta sejarah sebagai ahli akademik pertama negara yang meraih Anugerah Tokoh Jaminan Kualiti (Dalam Negara) pada Majlis Anugerah MQA 2025 malam tadi.
Pengiktirafan berprestij ini mengangkat sumbangan beliau selama hampir tiga dekad dalam memacu kecemerlangan jaminan kualiti pendidikan tinggi negara.
Dr. Shahrin menerima pengiktirafan ini hasil sumbangan dan penglibatan beliau yang konsisten sejak tahun 1997, bermula daripada Lembaga Akreditasi Negara (LAN), seterusnya Badan Jaminan Kualiti Akademik (BJKA) dan sehingga kini bersama Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).
Peranan beliau merangkumi pelbagai kapasiti, termasuk sebagai Penilai, Ahli Majlis MQA, dan penasihat strategik dalam pembangunan dasar kualiti akademik negara.
Anugerah MQA 2025 merupakan inisiatif julung kali agensi itu bagi mengiktiraf institusi dan individu yang mencapai kecemerlangan dalam kualiti akademik, inovasi, dan tadbir urus.
Ia merangkumi sektor pendidikan tinggi awam, swasta, politeknik, kolej komuniti, kolej swasta, serta institusi latihan awam, selari dengan aspirasi Pelan Strategik Pendidikan Tinggi Malaysia (PPTM) 2025–2035.
Pengiktirafan ini menjadi inspirasi buat seluruh warga UiTM untuk terus mengangkat kualiti sebagai teras kecemerlangan akademik, penyelidikan dan khidmat masyarakat di peringkat nasional dan antarabangsa. – MalaysiaGazette
















